malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes hina sultan: Polis akan rakam kenyataan Najib Razak minggu ini
ADS

Polis akan merakamkan kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak minggu ini susulan laporan yang difailkan terhadapnya oleh setiausaha kepada Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berhubung dakwaan membuat hantaran palsu dalam talian.

"Kami telah menghubunginya untuk memberitahu bahawa polis akan merakamkan kenyataannya minggu ini," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Ditanya sama ada polis akan merakamkan kenyataan Najib di rumahnya, Huzir berkata: "Biasanya, dia mesti datang sini (Bukit Aman)."

Pada 2 Oktober lalu, pengiring Sultan Selangor membuat satu laporan polis terhadap pemilik akaun 'Nga Kor Ming Super Fans Club' yang didakwa menghasut masyarakat Cina membenci Sultan Sharafuddin Idris Shah.

 

Pemilik akaun berkenaan dikatakan mengajak orang Cina yang tidak puas hati membuat bantahan terhadap Sultan Selangor, susulan keputusan tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa digunakan di negeri itu.

Najib turut berkongsi hantaran itu melalui akaun Facebook miliknya dan mengaitkannya dengan Nga.

Nga bagaimanapun menegaskan akaun Facebook berkenaan adalah palsu dan hantaran berkenaan merupakan fitnah jahat terhadapnya.

Nga juga menuntut Najib memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana memuat naik hantaran palsu di Facebook untuk menyemai kebencian di kalangan rakyat terhadap beliau dan DAP.

Setiausaha sulit kanan Nga, Tan Tiong Yih kemudian membuat laporan terhadap Najib di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Sebelum ini, Nga juga merakamkan kenyataannya di Bukit Aman pada 8 Oktober lalu.

Sementara itu, Huzir berkata polis akan sekali lagi merakamkan kenyataan Nga dalam masa terdekat.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen