malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Bagus Anwar jumpa Azmin tapi tetap perlu bertemu ahli MPP'
Diterbitkan:  Oct 15, 2019 9:19 PM
Dikemaskini: 1:19 PM
ADS

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin tetap mahukan pertemuan antara presiden parti itu, Anwar Ibrahim dengan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipilih secara undian dalam pemilihan lalu, bagi memulakan proses perdamaian dalam parti.

Beliau mengulas pertemuan Anwar dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di Parlimen hari ini yang mengundang perhatian ramai kerana tanggapan pergeseran antara mereka.

"Alhamdulillah, secara satu sama satu memang ada jumpa di Parlimen. (Tetapi) apa yang kita minta ialah pertemuan dengan semua anggota MPP yang menang secara undian," katanya di Pulau Pinang, hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau tahu tentang apa yang dibincangkan Anwar dan Azmin, Zuraida berkata beliau tidak tahu tentangnya.

"Setakat ini kami tiada perbincangan serius berkenaan parti," katanya lagi.

Anwar memuat naik gambar pertemuan dengan Azmin dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail di laman Facebook rasminya.

Minum kopi bersama Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung di lounge Parlimen,” katanya.

Menurut Anwar, beliau berbincang soal ekonomi dengan Azmin dalam pertemuan itu.

Pergeseran kedua-duanya semakin meningkat selepas tersebarnya video seks yang mengaitkan Azmin.

Azmin sendiri menafikan sekeras-kerasnya terlibat dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk membunuh karya politiknya.

Beliau juga mencetuskan rasa tidak puas hati Anwar dan penyokongnya apabila mendakwa pihak yang bertanggungjawab terhadap video itu mungkin datang dari dalam PKR.

Azmin dan Zuraida sejak beberapa bulan ini tidak hadir ke sebarang mesyuarat parti.

Bulan lalu, Zuraida berkata beliau tidak akan menghadiri mana-mana mesyuarat parti selagi Anwar enggan mengadakan pertemuan dengannya, Azmin serta sejumlah lagi pemimpin PKR untuk rekonsiliasi.

Lihat Komen