malaysiakini logo
story-image
ADS

Rasanya tidak perlu dihuraikan lagi mengapa kumpulan akhbar Utusan Melayu gulung tikar. Ramai yang sudah maklum sebab sebabnya. Malah ramai yang masih mempunyai pandangan tersendiri mengapa tutupnya Utusan.

Oleh itu fokus sekarang tentunya masa depan. Persoalan tepat ialah adakah pemilik baru akan menerbitkan semula penerbitan yang pernah dihasilkan Utusan dulu.

Tumpuan pastinya akhbar harian untuk “menggantikan” Utusan Malaysia. Atau apa yang disebut ramai “Utusan baru”. Dan adakah pekerja Utusan dulu akan diambil semula bekerja?

Ramai yang menjangka Utusan baru akan terbit. Kata mereka jika tidak, buat apa ambil alih Utusan yang sarat dengan hutang dan masalah? Disamping itu permit cetak dan sebagainya sudah dimiliki pengurusan baru. Memang logik jangakaan itu.

Menurut pengumuman yang dibuat baru-baru ini, Aurora Mulia Sdn Bhd memperolehi 70 peratus pegangan dalam Dilof Sdn Bhd milik Utusan – syarikat yang memegang permit cetak untuk Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad.

Syed Mokhtar Al-Bukhary

Aurora Mulia yang dikaitkan dengan jutawan Syed Mokhtar Al-Bukhary juga adalah pemegang 31.22 peratus kepentingan dalam Media Prima Berhad – konglomerat media terbesar di Malaysia.

Mengenai sama ada bekas pekerja Utusan akan diambil semula, ramai yang sukar membuat ramalan tetapi tetap yakin ada pekerja lama yang akan diserap. Bagaimanapun jumlahnya tidak siapa yang boleh mengagaknya.

Baru-baru ini perdana menteri sendiri memberitahu sebilangan bekas pekerja Utusan Melayu Malaysia Berhad akan diambil semula oleh pengurusan baru.

Namun Dr Mahathir Mohamad tidak menyebut bilangan yang akan ditawar pekerjaan pengurusan baru. Seperti ramai maklum pada 9 Oktober lalu, seramai 862 kakitangan kumpulan media Utusan hilang pekerjaan apabila syarikat menghentikan operasi.

Berdasarkan apa yang dikatakan Mahathir, bolehlah disimpulkan akhbar Utusan baru akan muncul. Bagaimana rupa bentuk akhbar baru itu agaknya? Lebih penting apa dasar editorialnya? Berkecuali? Memihak?

Kata seorang kawan, pengurusan baru “mesti berpandukan keutamaan bisnislah”. Amat logik pandangan beliau.

Bagi wartawan veteran A Kadir Jasin menyelamat dan menambah baik akhbar yang dulunya dimiliki dan dikawal oleh Umno bukanlah mudah.

Belajar dari yang tahu - Kadir

Kata Kadir menerusi posting di Facebook “pemilikan dan pengurusan baru dengan suntikan modal belum menjamin kejayaan sekiranya tidak seimbang dan lestari”.

Kadir melihat penjimatan dan penguncupan bilangan kakitangan yang keterlaluan “boleh mensabotaj dan menggagalkan niat baik ini”.

Dan kata beliau lagi mutu kewartawanan yang rendah akibat “pergantungan kepada wartawan dan pengarang junior tidak akan membawa balik pembaca dan pengiklan”.

Kadir mengakhiri catatannya dengan kata-kata ini: “Jadi belajarlah daripada yang tahu. Malu bertanya boleh tersesat jalan.”

A Kadir Jasin 

Memang ada benarnya apa yang dikatakan Kadir – sesuatu yang wajar diberi perhatian serius pengurusan baru. Cuma jika boleh saya menambah, faktor yang penting juga ialah gabungan senior dan junior amat perlu untuk sesuatu media (bukan hanya utusan baru) bergerak maju pada zaman ini dan era mendatang.

Apa pun bagi saya Utusan baru ini perlu pulang ke pangkal jalan. Kembali kepada perjuangan editor Utusan Melayu zaman 50 dan 60-an, allahyarham Said Zahari dan rakan rakan.

Betul zaman sudah berubah namun nilai perjuangan allahyarham Said tetap segar dan murni dan mesti dihidupkan semula.

Ringkasnya Utusan baru mesti dilahirkan sebagai akhbar yang diperjuangkan Allahyarham Said.

Kita tahu allahyarham Said dan rakan rakan mahu Utusan Melayu ketika itu “tetap hidup sebagai sebuah akhbar kebangsaan Melayu yang bebas, tidak dikuasai oleh mana mana parti politik”.

Allahyarham Said Zahari

Bagi Allahyarham Said dan rakan kanan “Utusan Melayu yang bebas daripada penguasaan seperti itu sahajalah yang benar benar boleh berkhidmat kepada seluruh bangsa Melayu, agama dan tanah air - bukannya kepada satu kelompok orang Melayu yang menganggotai satu satu parti politik sahaja.”

Walaupun Allahyarham Said bercakap dalam konteks berkhidmat kepada “seluruh bangsa Melayu, allahyarham dan rakan rakan turut menegaskan “hanya dengan dasar yang bebas sahajalah Utusan Melayu boleh mencerminkan fikiran rakyat, membela nasib rakyat dan memperjuangkan kepentingan rakyat dengan jujur, ikhlas dan berani”.

Bagi saya mereka bercakap mengenai seluruh rakyat Malaya dan Singapura yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Jika nilai murni allahyarham Said dan rakan-rakan dihidupkan dan diamal Utusan baru saya yakin ia akan diterima baik sebahagian besar rakyat negara ini.

Persoalannya adakah atau bolehkah dasar seperti itu dilaksanakan? Kerajaan baru sudah pun memberi jaminan tidak akan mencampru urusan media. Setakat ini janji itu tidak diengkari.

Alat bos baru?

Namun satu catatan Facebook menarik perhatian saya tempuh hari. Antara lain menurut posting itu: “Pemilik baru akan menjadikan Utusan alat untuk bos barunya”.

Saya harap ramalan atau andaian itu tidak menjadi kenyataan. Namun saya juga tidak naif. Lantas mengakui komen itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana kemungkinan apa yang diramalkan itu boleh terjadi. Mungkin berdasarkan keadaan tertentu, realiti, perkiraan perniagaan dan sebagainya yang sukar untuk dihindari.

Pun begitu jika Utusan baru perlu atau terpaksa mengambil sikap memihak atau perlu menyokong sesuatu pihak lakulah secara berpada-pada – jangan keterluan dan berlebih-lebihan sehingga sanggup membohong dan memfitnah.

Dalam erti kata lain Utusan baru jangan berperangai seperti Utusan lama.

Namun itu akan tetap menempatkan media kita di takuk yang lama. Sesuatu yang amat sedih dan mengecewakan.

Harapan semua ialah Utusan baru dan media negara keseluruhannya bebas dan tidak dikongkong. Demi kebaikan bersama.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen