malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saksi: Lembaga pengarah setuju sebulat suara beli hotel di Kuching
ADS

Mahkamah diberitahu hari ini bahawa cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) selepas pembentangan semula kertas cadangan.

Menurut Wong Siew Yeen, pengurus kanan Symphony Corporatehouse Sdn Bhd, cadangan pembelian hotel RM160 juta itu dibentangkan semula oleh bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Mohd Zaid Abdul Jalil dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah bertarikh 29 April 2014 (mesyuarat kesepuluh).

"CEO Zaid membentangkan semula cadangan pembelian Merdeka Hotel & Suites. Ahli lembaga pengarah sebulat suara bersetuju cadangan tersebut. Tiada bantahan," kata Wong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika pemeriksaan semula oleh peguam bela Salehuddin Saidin.

Wong yang juga saksi ke13 dalam perbicaraan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa oleh bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad yang melibatkan RM3 juta.

Wong, 49, bekas pengurus kanan di Symphony Corporatehouse Sdn Bhd dari September 2010 sehingga pertengahan 2014.

Symphony Corporatehouse merupakan syarikat dilantik untuk memberi khidmat luaran kesetiausahaan kepada FICSB.

"Saya hadir ke mesyuarat ahli lembaga pengarah. Saya sahkan bahawa CEO Zaid membentang cadangan pembelian Hotel Merdeka Palace & Suites," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan soalan Salehuddin bahawa walaupun ahli lembaga pengarah mempunyai kuasa untuk menolak cadangan dibentangkan oleh Zaid, namun, tiada siapa membantah.

"Ya, keputusan sebulat suara," katanya ketika Salehuddin bertanya adakah ahli lembaga pengarah bersetuju dengan cadangan pembelian hotel dibentangkan oleh Zaid.

Mesyuarat tersebut dikatakan dipengerusikan oleh Isa Samad sendiri.

Sementara itu, saksi ke 14, Ruzeti Emar Mohd Rosli memberitahu mahkamah bahawa pada mesyuarat lembaga (mesyuarat kelapan) FICSB bertarikh 26 Februari 2014, cadangan pembelian hotel tersebut tidak diteruskan selepas ahli lembaga diberitahu FICSB akan ambil masa 27 tahun untuk mendapatkan keuntungan.

"Berdasarkan kertas kerja yang dibentangkan Zaid, kemas kini cadangan pembelian hotel MPHS di mana kos keseluruhan adalah RM137,640,965.89 juta. Internal rate of return adalah 5.99 peratus dan average return of investment 3.44 peratus.

"Dan akan mengambil masa selama 27 tahun untuk mendapatkan keuntungan," katanya sambil menambah berdasarkan maklumat itu pembelian MPHS tidak diteruskan yang dipersetujui oleh ahli lembaga.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Lihat Komen