malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pergolakan dengan Anwar? Itu pandangan Malaysiakini, kata Azmin
ADS

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya wujud pergolakan antara beliau dan presidennya, Anwar Ibrahim.

Menurut Azmin, dakwaan tersebut hanya pandangan sesetengah pihak.

"Ada ke pergolakan, tidak ada. Itu pandangan Malaysiakini (saja),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan ringkasnya bersama Anwar di bangunan Parlimen hari ini yang dispekulasikan sebagai mengakhiri pergolakan kedua-dua pemimpin tersebut.

"Kita sebagai orang Islam dan Melayu kita mesti disuruh untuk melakukan muhasabah,” katanya yang juga adalah menteri hal ehwal ekonomi.

Anwar dan Azmin yang didakwa tidak sehaluan sejak tahun lalu, hari ini, mengadakan perjumpaan ringkas. Hadir sama adalah Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar sebelum ini menafikan perjumpaan ringkas hari ini adalah mesyuarat rekonsiliasi.

Sebaliknya, kata presiden PKR itu, pertemuan tersebut adalah perjumpaan biasa dan lebih kepada membincangkan hal ehwal ekonomi negara.

Mengulas dirinya yang didakwa kerap tidak mengahdiri mesyuarat biro politik PKR yang diadakan setiap Rabu dan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada setiap bulan, Azmin berkata beliau sedia hadir jika tidak mempunyai tugasan kerajaan.

"Kita ada masa dan ketika bincang mengenai parti, dan ketikanya kita beri tumpuan kepada isu rakyat kerana mandat yang diberikan rakyat dalam PRU14 terlalu besar untuk memulihkan ekonomi.

“Itu tanggungjawab yang perlu saya galas untuk memastikan tahap sosioekonomi rakyat itu dapat diberikan perhatian.

“Dan ada pertemuan parti yang saya pergi. Ada perbincangan parti yang dapat hadir. Tidak ada masalah. Kalau saya tidak ada tugas kerajaan, pastinya saya akan bersama dalam program parti.

"Kalau saya pergi lawatan ke negeri-negeri pun, selain program kerajaan saya akan bertemu dengan pimpinan parti negeri,” katanya.

Menurut Azmin, beliau juga tidak perlu dipujuk untuk hadir ke mana-mana mesyuarat parti.

"Mengapa perlu dipujuk, itu tanggungjawab saya,” katanya.

Sebelum ini, Azmin dilaporkan kerap memonteng kedua-dua mesyuarat PKR itu kerana didakwa tidak berpuas hati dengan presidennya.

Susulan itu, timbul spekulasi yang mendakwa hubungan kedua-dua pemimpin itu kini tidak lagi sehaluan.

Konflik kedua-dua mereka dikatakan tercetus pada pemilihan parti 2018, selepas Azmin mengalahkan pencabarnya Rafizi Ramli dengan majoriti lebih 4,000 undi manakala Anwar pula menjadi presiden selepas menang tanpa bertanding.

Ini dikatakan menjadi semakin tegang khususnya selepas penyebaran video seks yang mengaitkan menteri hal ekonomi itu pada Jun lalu.

Azmin yakin video berkenaan merupakan kerja orang dalam PKR yang mahu merosakkan kerjaya politiknya dan polis turut mendakwa seorang pemimpin parti politik menjadi dalang di sebalik video itu.

Polis dilaporkan masih menyiasat perkara ini namun Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendakwa proses pengenalan wajah gagal mengaitkan Azmin dengan video itu.

Anwar berulang kali menafikan terlibat dalam video seks itu walaupun setiausaha politiknya antara yang ditahan dalam hubungannya dengan kes berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen