malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ihsan atau royalti? DUN Kelantan lulus usul dukacita pada Guan Eng
ADS

DUN KELANTAN | Persidangan hari ini meluluskan usul untuk merakamkan rasa dukacita Kelantan terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang disifatkan mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat berhubung pembayaran royalti petroleum.

Usul tersebut dibawa Hassan Mahmood (PAS-Tawang) mengikut Perkara 30 (1) yang meminta DUN yang bersidang hari ini membuat ketetapan rasa dukacita atas kenyataan Lim yang disifatkan mereka sebagai mengelirukan.

Ia kemudiannya dibahas Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang menyokong sepenuhnya usul tersebut dan meluahkan dukacita terhadap ketidakfahaman menteri kewangan terbabit.

Menurut Md Alwi, apa yang disebut diterima kerajaan Kelantan ialah wang ihsan, dan ia bukan perkara baru kerana kerajaan dahulu juga memberi wang seumpama itu.

"Namun, untuk melepaskan diri hasil desakan ketua pembangkang di parlimen, dia (Lim) menjawab isu pembayaran royalti di luar Parlimen dan beliau boleh berbohong.

"Kenyataan yang dikeluarkan itu menyebabkan rakyat lebih keliru sehingga ada menyatakan sama ada kerajaan negeri Kelantan berbohong atau menteri kewangan.

"Jumlah royalti perlu dibayar adalah lebih RM1 bilion dan fakta itu salah selain mengelirukan rakyat. Apa yang pasti rakyat Kelantan berhak mendapat royalti, rakyat Kelantan bukan pengemis," katanya.

Terdahulu, Lim memaklumkan pembayaran royalti kepada kerajaan Kelantan sudah dibuat bulan lalu.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob pada sesi persidangan pagi tadi menafikan perkara tersebut, sebaliknya menjelaskan bayaran yang diterima berjumlah RM15.75 juta itu adalah wang ihsan.

Sementara itu, Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya'kub menerima usul berkenaan kerana memenuhi tiga syarat iaitu perkara tertentu dan mustahak, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Susulan itu beliau membuka peluang kepada anggota dewan undangan negeri (Adun) yang hadir untuk mengundi usul tersebut sekali gus menyaksikan ia dipersetujui.

Lihat Komen