malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Tak naikkan harga tanah Kg Baru untuk elak harga rumah tinggi’
ADS

Dr Mahathir Mohamad berkata sekiranya kerajaan menawarkan harga lebih tinggi kepada penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur, harga bangunan yang bakal dibina dijangkakan akan meningkat dari luar kemampuan.

Perdana menteri berkata, ia bukan sahaja akan menyebabkan masalah jualan tetapi bimbang ia tidak dapat dibeli oleh orang Melayu sendiri.

“Ya, kita boleh naikkan harga kepada pemilik. Yang kita khuatir, dengan kenaikan harga itu, bangunan yang didirikan rumah, flat dan apartmen akan naik harga juga.

“Dan ini akan menyebabkan sekali lagi kita (kerajaan) tak dapat jual dan Kampung Baru adalah untuk orang Melayu. Orang Melayu tak banyak ada duit, kalau kita nak ikut harga tanah luar daripada Kampung Baru, ada yang sampai RM7,000 satu kaki persegi.

“Kalau buat macam itu, orang Melayu tak masuklah. Sebab itu kita bagi ‘special price’ murah, orang itu jual tanah dia harga murah, kita pun boleh buat bangunan, apartmen, flat yang lebih murah - yang mampu milik kepada orang Melayu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad yang mengatakan telah mengadakan pertemuan dengan beliau untuk membincangkan tawaran baru kepada penduduk di Kampung Baru.

Beliau terdahulu merasmikan ‘International Medical Device Conference 2019’ (IMDC 2019) dan ‘Malaysia Medical Device Expo 2019’ (MyMEDEX2019) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur hari ini.

Pada 2 Oktober dilaporkan, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.

Semalam, Khalid berkata perbincangan dengan Mahathir itu minggu lalu, berhubung tawaran baru dan terakhir oleh kerajaan.

Lihat Komen