malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Majlis rasmi k’jaan wajib guna bahasa Melayu - Anwar
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM
ADS

Majlis rasmi kerajaan wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam usaha memartabatkan bahasa itu sebagai bahasa ilmu, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kekangan dihadapi dalam memartabatkan bahasa rasmi negara itu bukan bantahan atau kecurigaan daripada pihak tertentu, sebaliknya pemimpin dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir masa ini harus menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi dalam usaha tersebut.

Baru-baru ini, katanya, sebuah kementerian telah mengendali sebuah sidang mengenai hal ehwal nasional yang turut dihadiri oleh beberapa duta asing dan ia dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris termasuk doanya.

“Saya menegur dengan baik menteri berkenaan dengan menyatakan perlu kita betulkan pendekatan ini kerana program kerajaan terutama libatkan program kebangsaan seharusnya dalam bahasa Melayu,” katanya di Ayer Keroh, di Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis penutup Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara Sempena Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2019 yang dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Anwar berkata terdapat juga sidang media oleh pemimpin dan dianjurkan kerajaan yang mana bahasa digunakan bercampur aduk dalam bahasa Melayu serta Inggeris, yang mana ini tidak menggambarkan pendirian tegas kerajaan PH dalam memartabatkan bahasa Melayu.

“Saya mengesyorkan kepada semua mereka mulakan sidang dalam bahasa Melayu yang lengkap kemudian kalau ada keperluan menjawab persoalan dalam bahasa Inggeris ataupun sidang antarabangsa, bicara dalam bahasa Inggeris.

“Tetapi sekiranya kita beri contoh penguasaan bahasa yang begitu lemah dan kemudiannya menjelaskan hal penting bahasa Melayu dicampur aduk Inggeris ini (tunjuk) bahasa Melayu tidak mampu mengungkap permasalahan yang lebih rencam dan canggih,” katanya.

Beliau berkata bahasa Melayu dihormati di negara ini sebagai bahasa sastera dan budaya, bagaimanapun, tidak sebagai sebuah bahasa ilmu terutamanya melibatkan bidang sains, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan.

Katanya, dalam memartabatkan bahasa Melayu tidak timbul isu mengetepikan bahasa Inggeris, bagaimanapun beliau menegaskan penguasaan bahasa Melayu itu perlu dikembangkan sebelum usaha mengembangkan bahasa Inggeris di negara ini dilaksanakan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata apa yang diutarakannya itu adalah dasar kebangsaan dan bukan pandangan peribadinya semata-mata, justeru dasar itu perlu ditegaskan kepada semua kepimpinan kerajaan PH.

- Bernama

Lihat Komen