malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kes Ibrahim Ali label Waytha ‘babi’ didengar 8 Jun 2020
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 6:11 PM
Dikemaskini: 10:11 AM
ADS

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan tiga hari bermula 8 Jun 2020 untuk perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy terhadap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Saman fitnah itu berhubung ucapan Ibrahim dalam satu Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada 2 Dis 2018.

Peguam, K Kanagavalli,yang mewakili Waytha Moorthy, memberitahu pemberita bahawa tarikh berkenaan ditetapkan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar di dalam kamarnya ketika pengurusan kes tersebut.

Turut hadir peguam Muhammad Noor Azfar Muhammad Noor Azmi yang meakili Ibrahim.

"Pihak-pihak terlibat juga cuba untuk menyelesaikan kes melalui proses mediasi, namun sekiranya tiada penyelesaian dicapai perbicaraan akan diteruskan," katanya.

Muhammad Noor Azfar berkata kedua-dua pihak perlu menyerahkan penyataan saksi sebelum atau pada 18 Mei 2020 dan mahkamah menetapkan 18 Nov ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 14 Mac lalu, Waytha Moorthy, 53, selaku plaintif, memfailkan saman itu selepas mendakwa Ibrahim, 68, yang dinamakan sebagai defendan telah mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya ketika berucap dalam mesyuarat tersebut yang dianjurkan pada 2 Dis 2018.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada hari sama ucapan defendan itu telah diterbitkan dalam Malay Mail Online bertajuk 'At Perkasa AGM, enraged Ibrahim Ali calls Waytha Moorthy a pig' (Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa, Ibrahim Ali dengan marah memanggil Waytha Moorthy sebagai babi) dan kemudiannya telah tular dalam media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya.

Waytha Moorthy mendakwa defendan telah mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah itu dengan niat untuk menghina, merendah-rendahkan, memalukan dan mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan oleh orang ramai dan bersifat niat untuk memberi tekanan kepada kerajaan untuk menyingkirkan beliau daripada Kabinet.

Dakwanya, disebabkan defendan mengeluarkan kenyataan tersebut, plaintif telah benar-benar dimudaratkan daripada segi kebolehpercayaan dan reputasinya sebagai pemimpin negara serta sebagai seorang Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial dan kewibawaan secara peribadi serta reputasinya.

Antara lain, plaintif memohon perintah injunksi terhadap defendan supaya tidak lagi menmgeluarkan kata-kata fitnah itu serta memohon ganti rugi am, teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

- Bernama

Lihat Komen