malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Majlis Peguam: Pantauan polis boleh dapatkan bukti kaitan suspek dengan LTTE
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 4:29 PM
Dikemaskini: 8:29 AM
ADS

Majlis Peguam menggesa polis agar tidak melanjutkan penahanan mereka yang disyakit memiliki kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) secara tidak perlu, mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Akta itu membenarkan penahanan tanpa bicara selama 28 hari.

Dengan merujuk laporan media, Presiden Majlis Peguam Abdul Fareed Abdul Ghafoor membangkitkan bagaimana polis melakukan operasi pemantauan terhadap suspek sebelum menahan mereka.

"Ini bermakna polis dianggap memiliki bukti terhadap penglibatan mereka dalam kegiatan yang mengancam keselamatan negara," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, polis perlu mempercepat siasatan agar selari dengan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

"Dakwa mereka (suspek) di mahkamah jika ada cukup bukti untuk berbuat demikian, dan tidak menahan mereka untuk tempoh penuh 28 hari bawah Sosma secara tidak perlu," katanya lagi.

Abdul Fareed juga membangkitkan penyalahgunaan Sosma pada masa lalu dalam kes bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan, peguam Mathias Chang dan Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

"Dalam kes Maria, dia dibebaskan selepas penahanan tanpa sebarang dakwaan dikenakan terhadapnya.

'Manakala dalam kes Khairuddin dan Matthias, pihak pendakwaan kemudian menggugurkan dakwaan terhadap mereka," katanya lagi.

Maria ditahan pada 18 November 2016 - ketika itu sebagai pengerusi Bersih - pada malam himpunan Bersih 5. Beliau ditahan selama sepuluh hari.

Beliau kemudian memfailkan saman terhadap kerajaan kerana mendakwa penahanannya itu tidak sah. Kerajaan setuju untuk membayar ganti rugi RM25,000 dan kos RM5,000.

Khairuddin dan Chang pula ditahan selepas membuat sejumlah laporan terhadap skandal 1MDB.

Dalam siasatan berkaitan LTTE, Unit Anti Keganasan Bukit Aman telah menahan 12 individu termasuk dua adun DAP, P Gunasekaran and G Saminathan.

Lihat Komen