malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hakim: Tiada bukti Umno terima RM2 juta dari Aset Kayamas
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 4:01 PM
Dikemaskini: 10:44 AM
ADS

Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah bekas menteri wilayah persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memutuskan bahawa tidak terdapat bukti bahawa Umno telah menerima RM2 juta dari Aset Kayamas Sdn Bhd.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut berpendapat bahawa RM2 juta itu dimanfaat oleh tertuduh (Tengku Adnan) dan ini diterima tanpa pertimbangan yang berharga.

"RM2 juta itu yang diberikan oleh pihak kedua (Aset Kayamas) dibayar kepada Tadmansori Holdings Sdn Bhd, dan pergerakan wang itu berakhir di situ. Tidak terdapat hubungan yang bayaran itu dibuat kepada Umno daripada akaunTadmansori Holdings," kata hakim.

Hakim itu berkata resit saja tidak menjadi bukti yang Umno telah menerima RM2 juta itu dari Aset Kayamas.

"Hakikat bahawa resit itu ditandatangani oleh tertuduh sendiri tidak terlepas daripada pemerhatian saya.

“Saya telah juga menganalisis dan mempertimbang testimoni Tan Sri Chai Kin Kong (pengarah urusan Aset Kayamas dan saksi pendakwaan ke-19) dan pegawai penyiasat Muhammad Saad Bordani (saksi pendakwaan ke-23),” katanya.

Hakim Mohamed Zaini berkata Tengku Adnan memiliki Tadmansori Holdings, sebagai pemegang saham terbesar dan bukti juga menunjukkan tertuduh menjalankan syarikat itu dan pembuat keputusan utama.

"Pada asasnya beliau adalah alter ego (pengganti diri) syarikat," kata hakim.

Hakim menyatakan Aset Kayamas tidak mempunyai urusan bisnes dengan Tadmansori Holdings tetapi tidak dipertikaikan bahawa Aset Kayamas telah membayar RM2 juta kepada Tadmansori Holdings.

"Saya juga dapati tidak ada bukti menunjukkan bahawa Aset Kayamas, pemberi, telah mendapat sebarang pertimbangan kerana RM2 juta yang ia beri," kata beliau.

Hakim itu berkata bukti jelas menunjukkan bahawa Tengku Adnan tahu yang Aset Kayamas ada urusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

"Urusan itu berkaitan jualan dan pembangunan tanah DBKL. Testimoni saksi dan bukti dokumen jelas menunjukkan bahawa tertuduh terlibat sejak dari mula,” kata Hakim.

“Saya puas hati bahawa pihak pendakwaan telah menyediakan kes prima facie... membuktikan setiap unsur kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Saya dengan ini meminta tertuduh membela diri,” kata Hakim.

Menurut kertas pertuduhan, Tengku Adnan selaku petugas awam, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima RM2 juta dari Chai menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas Sdn Bhd yang kemudian dideposit ke dalam akaun CIMB Bank Tadmansori Holdings Sdn Bhd dalam mana beliau ada kepentingan, bila diketahui bahawa Aset Kayamas ada kaitan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa telah melakukan kesalahan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun, 2016.

Tuduhan itu di bawah seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara penuh hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan diwakili oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan sementara Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

- Bernama

Lihat Komen