malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kelantan bentang belanjawan defisit bagi tahun 2020
ADS

DUN Kelantan | Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan 2020 dengan jangkaan defisit berjumlah RM46.07 juta.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob dalam pembentangannya berkata, jumlah defisit bagi belanjawan tahu depan itu meningkat sebanyak RM11 juta atau 31.36 peratus berbanding Belanjawan 2019 yang mencatatkan anggaran defisit RM35.07 juta.

Menurut beliau, walaupun setiap tahun anggaran belanjawan Kelantan mencatafkan defisit, sebaliknya kerajaan negeri mencatatkan perbelanjaan sebenar yang surplus iaitu RM38.2 juta pada 2017 dan RM40.4 juta pada 2018.

"Prestasi kewangan negeri pada 2019 juga dijangka dapat mengurangkan jumlah defisit semasa hasil daripada kerajaan negeri berbelanja secara berhemah dan mengikut keutamaan," katanya ketika sesi pembentangan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu, hari ini.

Belanjawan Kelantan 2020 memperuntukkan sejumlah RM1.1 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemat.

"Kerajaan negeri akan memberikan keutamaan kepada projek-projek atau program yang kesemuanya terjurus kepada usaha merangsang kemakmuran negeri dan mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat," kata Ahmad.

Dalam pembentangan selama 55 minit itu, Ahmad (PAS-Pasir Pekan) memberi penegasan dalam usaha mencari keberkatan dengan melestarikan budaya kehidupan beragama.

Justeru, bagi tahun 2020 kerajaan negeri memperuntukkan RM37.56 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri Kelantan.

"Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM7.42 juta kepada Jabatan Kehakiman Syariah, RM1.92 juta kepada Jabatan Mufti Kelantan dan RM1.12 juta kepada Jabatan Pendakwaan Syariah negeri.

"Kerajaan negeri mengekalkan sumbangan tahunan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebanyak RM1 juta dan jumlah peruntukan sama kepada Prasarana Material Pelaksanaan Kanun Syariah II.

"Selain itu, bagi projek pembinaan dan pembaikan masjid, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7 juta melalui Pejabat Pembagunan Negeri," katanya.

Sementara itu, Belanjawan 2020 negeri Kelantan juga antaranya memperuntukan RM121.5 juta bagi bidang pendidikan; RM59.38 juta sebagai perbelanjaan mengurus Pejabat Tanah dan Jajahan; RM57.39 juta kepada Jabatan Kerja Raya; RM28.10 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran.

Selain itu peruntukan sebanyak RM12.65 juta diberikan kepada Jabatan Pertanian Negeri, RM8.18 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri dan RM884,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri.

Lihat Komen