malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemandu e-hailing tanpa lesen PSV masih boleh bekerja
ADS

Kementerian Pengangkutan Malaysia tidak akan mengambil pendekatan keras terhadap pemandu perkhidmatan e-hailing yang masih belum mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Jurucakap kementerian itu memberitahu Malaysiakini bahawa tiada sebarang perubahan berhubung pengumuman dibuat Menteri Pengangkutan Anthony Loke agar pemandu e-hailing terus mengambil penumpang mereka.

Beliau merujuk kepada kenyataan Presiden Persatuan Pemandu E-Hailing Malaysia, Daryl Chong yang memberitahu The Star bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) memberikan maklumat berbeza mengenai perkara itu.

“Kami mengikuti pengumuman terbaru oleh menteri. Apa yang dikatakan persatuan itu bukan daripada perkembangan terkini,” kata jurucakap itu.

Chong terdahulu dilapor berkata pihaknya mengesahkan perkara itu melalui Apad bahawa hanya pemandu yang memiliki lesen PSV dan Permit Kenderaan E-hailing (EVP) dibenarkan berada di jalan raya.

“Kami mengesahkan semula dengan Unit Teksi dan E-Hailing Apad bahawa hanya pemandu dengan lesen PSV dan EVP dibenarkan di jalan raya secara sah bermula 12 Okt.

“Agensi penguatkuasaan akan bertindak berdasarkan undang-undang, jadi pemandu keliru. Siapa yang kita patut dengar? Menteri atau penguatkuasa?” kata Chong.

Loke dilapor berkata kerajaan akan berkompromi dengan pemandu e-hailing yang telah mendaftar untuk peperiksaan PSV atau yang telah mengambil langkah untuk memenuhi keperluan itu.

“Kami tidak mempunyai masalah memberi mereka peluang kerana mungkin ada beberapa proses yang akan mengambil masa untuk diselesaikan,” kata Loke.

Beliau menambah penguatkuasaan akan dijalankan secara berperingkat dan pemandu e-hailing dinasihatkan agar tidak risau jika ditahan penguatkuasa.

Dalam mengendalikan perkhidmatan e-hailing, pemandu dikehendaki mematuhi peraturan tertentu seperti mendapatkan lessen PSV, pelekat e-hailing dan EPV dari Apad. 

Lihat Komen