malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak masuk akal LTTE mahu dihidupkan semula, kata P Ramasamy
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 11:39 AM
Dikemaskini: 3:46 AM
ADS

Tuduhan bahawa Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) cuba dihidupkan semula di Malaysia adalah tidak masuk akal, kata Timbalan Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy.

Beliau berkata perjuangan bersenjata oleh LTTE telah berakhir pada 2009 dengan kemusnahan kepimpinannya dan pembunuhan lebih seratus ribu orang Tamil.

"Oleh itu, tidak masuk akal untuk memikirkan bahawa LTTE akan dihidupkan semula di Malaysia atau di tempat lain.

"Mengenang LTTE dalam cara peringatan mangsa perang bukannya sama dengan menghidupkan kembali kumpulan ini untuk perjuangan bersenjata sekali lagi," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tuduhan bahawa LTTE cuba dihidupkan melalui aktiviti-aktiviti Parti Naam Tamilar Katchi atau NTK yang diketuai oleh Senthamilan Seeman, seorang pelakon yang menjadi ahli politik di Tamil Nadu, India.

Menurut P Ramasamy, NTK yang ditubuhkan beberapa tahun lalu didaftarkan sebagai parti politik dan telah bertanding dalam beberapa pilihan raya tetapi gagal mendapatkan sokongan.

"NTK adalah rapat dengan pergerakan kebangsaan Tamil di Sri Lanka secara umum dan khususnya LTTE. Ciri-ciri bendera, lambang dan lain-lain indentiti pihak itu menyerupai LTTE.

"Akan tetapi di Tamil Nadu, NTK berjuang untuk kuasa melalui cara perlembagaan dan demokratik. Walaupun dalam isu etnik Tamil di Sri Lanka, NTK percaya bahawa penyelesaian terbaik untuk etnik Tamil adalah wilayah Eelam yang bebas, tetapi enggan untuk menghuraikan cara untuk mencapainya.

"Adalah tidak masuk akal untuk memikirkan bahawa satu lagi perjuangan bersenjata akan berlaku seperti yang dilaksanakan oleh LTTE selama 30 tahun," katanya.

Kata P Ramasamy beliau sendiri meragui parti itu mempunyai sokongan meluas di kalangan etnik Tamil walaupun sentimen Tamil digunakannya bagi tujuan politik.

"Pemimpin NTK iaitu Seeman adalah seorang penceramah yang baik dan mempunyai daya tarikan kepada orang ramai, tetapi saya meragui bahawa ciri-ciri ini sahaja dapat memulihkan kembali sebuah organisasi yang tidak berfungsi lagi.

"NTK tidak mempunyai asas di Malaysia dan tidak boleh menjadi wakil politik orang Tamil di sini. Sokongan nostalgia untuk filem mengenai perjuangan pembebasan kebangsaan Tamil tidak boleh diterjemahkan secara automatik kepada kebangkitan semula LTTE," jelasnya.

LTTE wujud kerana ideologi ekstrem

Sementara itu, Naib Presiden Umno Khaled Nordin membidas pemimpin utama DAP kerana mempersoal penahanan beberapa ahli politik parti mereka yang dikaitkan dengan LTTE.

Beliau berkata terdapat juga pemimpin utamanya berpendapat bahawa LTTE tidak lagi aktif dan sebarang kaitan terhadapnya tidak akan menimbulkan sebarang kemudaratan.

"Pemikiran sebegini amat merbahaya kerana ideologi yang ekstremlah yang telah menjadikan LTTE itu dikategorikan sebagai organisasi pengganas. 

"Justeru, dengan ideologi yang ekstrem itulah, LTTE boleh dihidupkan kembali," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Khaled, sebagai sebahagian daripada kerajaan, DAP wajib menghormati pasukan risikan dan keselamatan negara. 

"DAP mesti memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mereka tanpa sebarang kompromi. 

"Jika terus mempolitikkan perkara ini, DAP pasti mempunyai sesuatu yang disembunyikan," katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru PDRM agar turut menyiasat jika wujud hubungan antara DAP dan LTTE dalam apa bentuk sekalipun.

"Kita tidak mahu mana-mana pihak, secara tersembunyi, menyokong ideologi yang ekstrem dan menjadikan Malaysia ‘negara’ yang memberikan naungan kepada kegiatan mereka," tegasnya.

Sejak 10 Okt lalu, polis menahan seramai 12 individu termasuk dua Adun DAP kerana dikaitkan dengan kegiatan LTTE.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat transaksi kewangan dalam jumlah yang besar untuk membiayai, mempromosi, merekrut dan menggerakkan program berkaitan kumpulan militan itu. 

Lihat Komen