malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ku Nan diarah bela diri berhubung tuduhan terima rasuah
ADS

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor diperintah untuk membela diri berhubung pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Tengku Adnan.

Tengku Adnan, 68 atas kapasitinya selaku penjawat awam dituduh menerima RM2 juta daripada Chai Kin Kong, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas Sdn Bhd.

Cek tersebut didakwa didepositkan ke akaun bank CIMB milik Tadmansori Holding Sdn Bhd, di mana Tengku Adnan mempunyai kepentingan, dan diketahui bahawa syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016.

Tuduhan dibuat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika membacakan alasan penghakimannya, Zaini berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan empat unsur untuk sabitan di bawah Seksyen 165, iaitu Tengku Adnan adalah seorang penjawat awam pada masa kesalahan itu dilakukan; bahawa tertuduh menerima wang RM2 juta itu; bahawa dia tidak memberi pertimbangan terhadap wang yang diterima; dan bahawa dia tahu orang yang memberikan wang tersebut mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam.

Pada 23 Jan lepas, Tengku Adnan, mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya di hadapan Hakim Mohamed Zaini, selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Dis 2018.

Perbicaraan selama 12 hari bermula pada 2 Julai dengan 23 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Tengku Adnan diwakili peguam Tan Hock Chuan manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen