malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Rumah anak yatim, 2 sekolah tahfiz Hulu Langat terjejas dilanda banjir kilat
ADS

Hujan lebat semalam menjadi mimpi ngeri buat penduduk Kampung Sungai Semungkis di Hulu Langat, Selangor.

Ia selepas jalan utama kampung itu dilanda banjir kilat selepas 15 minit hujan lebat itu.

Ab Shukor Ab Kadir yang sudah menetap di situ selama 18 tahun meluahkan rasa terkejut betapa lajunya paras air meningkat.

"Semalam hujan sekitar pukul 4.30 petang, dan hanya dalam masa 15 minit, semua tenggelam, air deras mungkin kira-kira tiga kaki (kedalaman).

"Jalan jadi macam sungai," katanya.

Kampung Sungai Semungkis merupakan sebahagian daripada pembangunan Felcra dan terletak lima kilometer daripada jalan utama di Batu 14.5 Hulu Langat.

Sungai di situ, Sungai Gahal, merupakan sumber air bagi penduduknya.

Kata Ab Shukor, dia mengesyaki sungai tersebut menerima kesan daripada projek lebuh raya Lebuhraya Lingkaran Luar–Hubungan Timur (EKVE) yang berhampiran.

"Projek itu menebang kawasan hijau dan sungai jadi penuh dengan pasir dan keladak. Tiba-tiba ia penuh dan melimpah dengan pantas. Kami takut apa yang mungkin terjadi pada waktu malam.

"Perkiraan mudah, lebih 200 orang terjejas. Ia berlaku begitu pantas, semua barang macam peti sejuk, perabut, karpet dan pakaian dihanyutkan," katanya lagi.

Bagaimanapun katanya lagi mujurlah tiada sesiapa yang turut dihanyutkan, dengan mengambil kira air yang mengalir deras.

Junaidi Jamaluddin pula ialah setiausaha Rumah Anak Yatim Raydha Al-Hijrah, dan sukarelawan di salah satu daripada dua sekolah tahfiz yang turut ditimpa banjir kilat.

"Banjir kilat ini teruk sangat, susah nak percaya.

"Semua bermula pada 2017 disebabkan projek ini. Ada pembinaan kira-kira 20 meter dari rumah kami. Kami sudah buat aduan kepada pemaju, tetapi tiada apa yang dilakukan," katanya.

"Sekarang kami hidup dalam ketakutan," kata Junaidi.

Menurutnya, arus begitu laju sehingga motosikal dan malah lori pun boleh dihanyutkan.

"Bekalan air kami ialah sungai itu sendiri. Apa akan terjadi kalau hujan lagi?" katanya, sambil menambah penduduk kini mengepam air banjir untuk membersihkannya.

"Siapa yang akan tolong kami jika selepas ini banjir kilat berlaku pada waktu malam?" soalnya lagi.

Lihat Komen