malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LTTE: Melaka beri kerjasama penuh pada polis
ADS

Kerajaan Melaka akan memberikan kerjasama penuh kepada polis untuk menyiasat dakwaan tiga individu di negeri itu yang disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Menteri Adly Zahari berkata pihaknya mahu siasatan dijalankan dengan telus dan sekiranya didapati bersalah tindakan mengikut undang-undang perlu diambil.

"Kita berikan kerjasama kepada pihak keselamatan dan berharap agar siasatan yang lengkap dapat dilaksanakan.

"Sekiranya terlibat, mereka harus didakwa, namun jika mereka tidak bersalah, mereka harus dibebaskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka sempena sambutan hari lahir ke-81 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Khalil Yaakob, di Ayer Keroh hari ini.

Adly diminta mengulas mengenai tiga daripada 12 individu ditahan polis pada Khamis lalu.

Mereka ialah seorang Adun, pegawai eksekutif sebuah perbadanan dan ahli majlis perbandaran, yang ditahan semalam atas dakwaan terlibat dengan kumpulan LTTE.

Dalam pada itu Adly berkata tiada keperluan untuk menggugurkan jawatan Adun dan exco ekoran dakwaan individu terbabit terlinbat dengan LTTE.

Menurut Adly, buat masa ini, tugas itu diambil alih oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Tey Kok Kiew, manakala bagi jawatan pegawai eksekutif akan ditetapkan oleh Setiausaha Kerajaan Melaka Hasim Hasan.

Sementara itu, Adly berkata pembaharuan peraturan bagi menghadiri atau membuat liputan di Balai Istiadat bagi istiadat penganugerahan tahun ini dilakukan bagi menambah baik perjalanan majlis serta memastikan sistem protokol - terutama melibatkan majlis rasmi kerajaan negeri - berjalan lancar.

Beliau berkata pemakluman berkaitan peraturan baharu itu juga telah dimaklumkan kepada semua pihak terlibat termasuk pihak media terutama berhubung etika pemakaian yang perlu dipatuhi.

"Di peringkat kerajaan negeri mahupun program yang dianjurkan, kita ada membuat pembaharuan peraturan. Bagi isu ini kita lihat ada sedikit rungutan dan kita akan lakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

"Namun, peraturan tetap akan ada terutama melibatkan majlis rasmi dan ia perlu dipatuhi bagi memudahkan urusan majlis," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan melihat semula rungutan terutama masalah yang dihadapi media untuk membuat liputan bagi majlis itu kerana jumlah pengamal media yang dibenarkan membuat liputan diminimumkan.

Semalam, akhbar bahasa Inggeris melaporkan terdapat sejumlah wartawan berbahasa Cina dan ahli politik tidak dapat memasuki Balai Istiadat kerana tidak mengenakan pakaian lengkap yang ditetapkan termasuk bersongkok.

- Bernama

Lihat Komen