malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Royalti minyak: Kelantan perlu muhasabah - Husam
ADS

Kerajaan Kelantan perlu bermuhasabah dan mencerminkan diri dalam usaha menuntut bayaran royalti petroleum daripada kerajaan persekutuan, kata Pengerusi PH negeri Senator Husam Musa.

Menurutnya, apabila tuntutan tersebut tidak dibayar ia mempunyai masalah-masalah tertentu dari segi teknikal yang perlu dikaji dan diteliti.

"Saya sentiasa menyokong tuntutan ini, saya juga beri tawaran untuk membantu berunding dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan bayaran royalti ini.

"Tetapi tawaran saya ditolak dan kerajaan negeri pastinya mempunyai pakar-pakar sendiri dan saya yakin mereka mampu uruskan dengan baik.

"Dalam hal ini kita harus bezakan bahawa kerajaan PH tidak mendiskriminasikan Kelantan, ini terbukti apabila royalti Terengganu dibayar penuh.

"Jadi, kerajaan Kelantan perlu cermin diri apa sebab royalti tidak dibayar sedangkan dibayar sepenuhnya kepada Terengganu," katanya kepada media selepas merasmikan program Tanaman Fertigasi dan Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Pergap Sdn Bhd di Bachok, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pimpinan PAS yang mahu supaya royalti Kelantan disegerakan khususnya melalui Belanjawan 2020 yang dibentangkan, semalam.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan harapan agar royalti petroleum kepada Kelantan direalisasikan melalui belanjawan kali ini.

Bagaimanapun, tiada peruntukan yang diumumkan mengenainya dalam pembentangan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen, semalam.

Sementara itu, Husam yang juga naib presiden Amanah berkata pihaknya yakin kerajaan PH mempunyai sebab tertentu dan bukan mengamalkan dasar diskriminasi.

"Apabila royalti Kelantan tidak dibayar saya rasa ada masalah-masalah tertentu dari segi teknikal. Bukan kerana dasar tak mahu bayar.

"Tetapi ada juga orang-orang tertentu daripada parti PAS, buat majlis solat hajat untuk dapat tuntutan royalti dan nama saya disebut di majlis itu. Saya rasa ini cara tak betul.

"Kalau kerajaan pusat ini ada iri hati, royalti Terengganu bayarannya lebih besar. PH tak perlu bayar kepada Terengganu juga kalau itu dasar diskriminasi. Tetapi kalau sebab-sebab teknikal perkara ini perlu dikaji," ujarnya.

Lihat Komen