malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keluarga model Belanda bidas kelewatan Mahkamah Koroner
Diterbitkan:  Oct 12, 2019 12:59 PM
Dikemaskini: 5:05 AM
ADS

Keluarga mendiang model Belanda, Ivana Smit meluahkan rasa kecewa terhadap Mahkamah Koroner susulan kelewatan dalam menyampaikan nota prosiding dan rekod kepada Mahkamah Tinggi.

Pada 8 Mac lalu, Mahkamah Koroner selepas prosiding inkues yang panjang memutuskan kematian Ivana berpunca daripada satu kemalangan akibat "voluntary risk."

"Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, keluarga Ivana kemudian memfailkan permohonan semakan kepada Mahkamah Tinggi pada 11 Mac lalu.

“Difahamkan sehingga kini, Mahkamah Tinggi tidak dapat menetapkan tarikh perbicaraan kerana kelewatan yang tidak wajar oleh pihak koroner untuk menghantar transkrip nota-nota prosiding dan rekod lain kepada Mahkamah Tinggi,” kata firma guaman SN Nair & Partner yang bertindak bagi pihak keluarga SMit dalam satu kenyataan semalam.

Smit yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol ditemui mati di tingkat enam kondominium CapSquare di Kuala Lumpur, setelah terjatuh dari unit kondominium tingkat 20 yang didiami pasangan Alex Johnson dan Luna Almaz pada 7 Disember 2017.

Pada Mac lalu, Mahkamah Koroner mengklasifikasikan kematian itu disebabkan "misadventure" (nahas).

Koroner Mahyon Talib yang mendengar prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Ivana, berkata mahkamah mendapati tiada sesiapa terlibat secara jenayah dalam kematian model berusia 19 tahun itu.

Menurut S N Nair & Partners walaupun terdapat beberapa pengurusan kes dan peringatan yang dihantar kepada mahkamah bagaimanapun Mahkamah Koroner masih belum lagi menyerahkan nota serta rekod inkues kepada Mahkamah Tinggi.

“Hal ini menjadi sebab Mahkamah Tinggi tidak dapat mendengar permohonan semakan sehingga kini.

“Keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan,” kata firma guaman itu.

Jelasnya lagi, perkara tersebut tidak wajar kepada ibu bapa mendiang dan orang tersayang yang terpaksa menanggung penyeksaan jiwa.

“Lebih-lebih lagi, terpaksa menanggung kesedihan dan kedukaan kerana kelewatan yang berpunca daripada mahkamah rendah ini," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen