malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Permohonan isytihar Tian Chua layak bertanding pilihan raya didengar 14 Okt
ADS

Mahkamah memutuskan permohonan Tian Chua berkenaan kelayakannya untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya dan pilihan raya kecil pada masa akan datang akan didengar pada 14 Oktober ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mariana Yahya akan mendengar permohonan itu.

Ia selepas tindakan Tian Chua menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan pada Julai lalu, berkenaan hilang kelayakan untuk bertanding di kerusi parlimen Batu pada PRU ke-14.

Saman pemula asal, yang menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden, difailkan oleh firma guaman Messrs Ngeow and Tan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April lalu.

Menurut salinan saman pemula yang dilihat Malaysiakini semalam, Chua memohon mahkamah mengisytiharkan beliau masih layak menjadi calon, kerana dua keputusan mahkamah tinggi berasingan yang mengenakan denda RM2,000 terhadapnya tidak menghilangkan kelayakan itu.

Pada hari penamaan, bekas anggota parlimen Batu itu dibatalkan kelayakan Pegawai Pengurus SPR (Returning Officer) Anwar Mohd Zain atas alasan Tian Chua telah didenda RM2,000 kerana menghina seorang pegawai polis.

Tindakan SPR tersebut bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membolehkan beliau bertanding dalam PRU13, walaupun beliau juga telah membayar denda RM2,000 untuk kes berasingan.

Menurut permohonan baru yang difailkan, Tian berkata walaupun dijatuhkan hukuman dalam dua kes mahkamah, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia ketika itu mengisytiharkan beliau masih anggota parlimen Batu.

"Sepanjang tempoh pemohon (Chua) menjadi ahli parlimen, pemohon hadir di setiap sidang, terlibat dalam perbahasan dan undi (di Parlimen), dan soalan pemohon dijawab oleh menteri sejak 2008 sehingga parlimen dibubarkan pada 7 April 2018," katanya.

Katanya, beliau dibenarkan bertanding dan menang di kerusi parlimen Batu pada PRU ke-13 tanpa mengundang bantahan daripada mana-mana pihak, walau didenda RM2,000 dalam dua kes mahkamah sebelumya.

Katanya lagi, pegawai pengurus SPR pada PRU ke-14 gagal mengambil kira perkara itu walaupun beliau cuba menjelaskannya, dan menolak borang penamaan calonnya.

"Maka pemohon ada kembimbangan wajar berkenaan kemungkinan responden (SPR) atau mana-mana pihak lain akan mempertikai dan/atau menafikan kelayakannya untuk pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil, pada masa akan datang.

"Kelayakan dan hak pemohon untuk menjadi calon pilihan raya dan bertanding perlu ditentukan oleh mahkamah yang mulia," katanya lagi.

Chua memohon pengisytiharan bahawa beliau layak untuk bertanding seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan dan satu lagi perisytiharan bahawa beliau boleh bertanding dalam PRU ke-14.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk menjadi calon dengan mengambil kira apa yang berlaku di Parlimen dan mahkamah - yang dikatakan mengesahkan kelayakannya untuk bertanding.

Beliau juga memohon ganti rugi kos dan relif yang dikira munasabah oleh mahkamah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen