malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Semua gembira, hampir semua orang dapat sesuatu’
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata semua orang gembira dengan pembentangan Belanjawan 2020 hari ini.

“Rakyat gembira. 

"Hampir semua orang dapat sesuatu,” kata Mahathir kepada pemberita selepas pembentangan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebentar tadi.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai bagaimana beliau melihat belanjawan kali ini yang boleh mengubah sentimen rakyat yang kadang-kala tidak gembira dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan.

Belanjawan 2020 menyaksikan penurunan sebanyak 5.57 peratus iaitu RM297.020 bilion berbanding peruntukan sebanyak RM314.55 bilion pada Belanjawan 2019.

Bagaimanapun, difahamkan kerajaan tidak mengurangkan perbelanjaan operasi biasa dan perbelanjaan pembangunan.

Menurut Mahathir, kerajaan Pakatan Harapan telah membentangkan Belanjawan 2020 dengan menyediakan peruntukan tambahan meskipun kerajaan sedang menanggung bayaran hutang.

Katanya, ini dapat dilihat melalui prestasi ekonomi tahun ini yang menyaksikan pertumbuhan 4.7 peratus dan menjangkakan ia akan meningkat kepada 4.8 peratus pada 2020.

"Ini bermakna susulan pemerintahan masih berjalan dengan baik walaupun kita terpaksa membersihkan kerajaan. Tapi ini tak bermakna kerajaan tak dapat berjalan dengan baik.

"Ramai yang berpendapat kerajaan PH ini tak berpengalaman dan tak mungkin mentadbir dengan baik.

"Tapi sepertimana yang kita dengar tadi (sewaktu pembentangan), peruntukan tambahan diberikan kepada semua pihak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen