malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hanya boleh membaca umur 14, kini berjaya di menara gading
ADS

Hari graduasi tentunya hari bermakna untuk semua pelajar, tapi majlis tersebut memberi erti yang lebih mendalam buat Siti Atikah Mohd Farid kerana ia merupakan kejayaan yang tidak ramai sangkakan.

Ini kerana pada satu ketika dahulu, Atikah, 27, jauh ketinggalan dari segi akademik berbanding rakan sebaya.

Menghadapi masalah pembelajaran disleksia, Atikah hanya mampu membaca buat pertama kali pada umur 14 tahun.

“Disebabkan masalah disleksia yang saya hadapi, ramai yang pandang rendah kepada saya untuk menyambung pengajian di peringkat diploma pada awalnya.

“Kesukaran saya untuk berkomunikasi mendapat kecaman dari pihak sekeliling apabila saya ingin menyambung pengajian dalam bidang komunikasi dan pengajian media di mana pengajian tersebut memerlukan kemahiran berkomunikasi dengan baik," katanya ketika dihubungi.

Atikah (dua dari kanan) bersama keluarganya.

Tidak mengendahkan kecaman, dia tekad untuk teruskan usaha sehingga berjaya menggenggam ijazah sarjana muda pada majlis graduasi minggu lalu.

Atikah dianugerahkan Sarjana Muda dalam Komunikasi dan Pengajian Media dengan Kepujian dari Taylor’s University.

“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk berusaha melakukan sehabis baik walaupun ramai di sekeliling risau dan tidak yakin bahawa saya juga mampu untuk melakukannya seperti orang lain,” katanya.

Kejayaan Atikah dikongsi oleh adiknya di Twitter minggu lalu. Perkongsian itu mendapat lebih 2,700 perkongsian oleh pengguna Twitter yang mengangkat Atikah sebagai sumber inspirasi.

 

Menurut Atikah, pada awal pengajian universiti, beliau sukar mengikuti sesi pengajaran, walaupun sudah diulang sebanyak lima kali di dalam kelas.

“Saya terpaksa buat-buat faham kerana malu dengan rakan sekelas yang rata-ratanya bijak dan mudah memahami apa yang diajar oleh pensyarah," katanya.

Namun persoalan yang bermain di mindanya semasa sesi pembelajaran tidak tergantung setakat itu. Pelajar tersebut akan berjumpa pesyarahnya untuk lebih memahami pembelajarannya dengan bentuk informasi yang mudah untuk difahami.

“Nasib saya baik kerana mempunyai pensyarah yang selalu membantu saya dan kejayaan saya kali ini juga hasil daripada pertolongan mereka yang tidak putus-putus,” kata Atikah kepada Malaysiakini.

Atikah bersama ibu bapanya.

Menurut Atikah, dia didiagnos mengalami masalah disleksia semasa berumur 13 tahun.

Atikah mengalami disleksia visual, yang menyukarkannya mengenal huruf dan membaca.

Masalah ini biasanya dialami oleh kanak-kanak dan boleh berlanjutan sehingga dewasa. Disleksia tidak memberi impak pada tahap kecerdasan.

Kata Atikah, masalah itu membuatnya susah belajar di peringkat tadika. Ibunya telah mengeluarkannya dari sekolah tadika yang dihadirinya dan mengambil alih tugas mengajar Atikah sendiri.

Minat dan cita-cita menjadi seorang wartawan juga menjadi titik permulaan pengajiannya sehingga ke menara gading dengan disokong oleh kedua ibu-bapanya yang inginkan dia berjaya menggenggam segulung ijazah.

“Kejayaan pada hari ini adalah untuk menggembirakan kedua ibu bapa kerana dari kecil saya tidak dapat memenangi apa-apa bentuk penganugerahan,” katanya.

Atikah juga berharap agar ibu bapa yang memiliki anak yang mengalami masalah diskleksia supaya bersabar dalam mengajar anak mereka kerana ia akan mengambil masa.

Atikah juga berkongsi pesanan untuk mereka yang menghadapi cabaran yang sama.

“Percaya pada diri sendiri dan jangan mudah cepat terpengaruh dengan kata-kata orang yang tidak percaya kebolehan dan kemampuan kita. Buktikan mereka salah dan kita mampu buat yang terbaik dari yang mereka sangkakan,” katanya.

Lihat Komen