malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin Melayu dihormati jika wakili semua rakyat M'sia - Syed Saddiq
ADS

Kongres Maruah Melayu yang berlangsung di Shah Alam pada Ahad lalu menyaksikan ahli-ahli akademik dan ahli politik membangkitkan sentimen etno-nasionalisme dalam usaha mengembalikan 'maruah Melayu'

Mereka antara lain memberi amaran mengenai masyarakat bukan Melayu dan menuntut jawatan penting dalam kerajaan dikhaskan kepada orang Melayu semata-mata.

Bagaimanapun, bagi Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pendekatan itu bukan cara terbaik untuk orang Melayu mendapatkan rasa hormat daripada kaum lain.

Sebaliknya beliau berkata seseorang pemimpin Melayu sejati akan bersuara mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

"Saya percaya cara terbaik bagi orang Melayu untuk dihormati, adalah bukan hanya dihormati di kalangan orang Melayu, tetapi dihormati di kalangan semua rakyat Malaysia.

"Jika mahu melihat seorang pemimpin Melayu yang sebenarnya, dia dihormati semua rakyat Malaysia, bersuara untuk rakyat Malaysia, menguatkan perpaduan dan kepelbagaian, serta memastikan budaya toleransi di Malaysia.

"Ia bukan bermaksud bila kamu mengatakan seperti ini, kamu menjadi kurang Melayu," katanya kepada Malaysiakini dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan masyarakat bukan Melayu terhadap kongres yang berlangsung Ahad lalu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berucap pada kongres itu menjadi sasaran kritikan sama ada daripada kaum Melayu atau bukan Melayu kerana didakwa memperlekehkan mereka.

Syed Saddiq bagaimanapun mempertahankan ucapan perdana menteri.

Beliau berkata ucapan Mahathir itu bertujuan meransang orang Melayu agar bermuhasabah diri dan berhenti menyalahkan orang lain atas kegagalan mereka.

Beliau berkata ini berbeza dengan individu yang menyalahkan orang lain atas kegagalan orang Melayu, menuntut layanan khas, dan menafikan hak orang lain.

"Dalam ucapan Tun (Mahathir) sama sekali berbeza, ia lebih kepada refleksi diri, introspeksi, mencari kekuatan dalaman kita, berhenti menuding jari kepada orang lain, mencari cara untuk menguatkan diri sendiri.

"Itulah makna sebenar mengembalikan maruah Melayu," kata Syed Saddiq.

Sebelum ini Presiden Isma, Aminuddin Yahaya mengkritik kongres berkenaan.

Aminuddin berkata beliau hadir untuk mengaharapkan sesuatu yang positif dari kongres itu, sebaliknya terpaksa mendengar ucapan Mahathir yang hanya merendah-rendahkan kaum Melayu.

Mahathir sendiri dikritik apabila merujuk kepada kaum minoriti itu sebagai 'orang asing'.

Perdana Menteri berkata pada masa lalu orang Melayu terpaksa menerima "orang asing" atau negara ini tidak akan mencapai kemerdekaan daripada British.

Ditanya mengapa beliau hadir kongres berkenaan, Syed Saddiq berkata beliau hanya mahu mendengar amanat disampaikan Perdana Menteri.

"Saya benar-benar mahu mendengar ucapan Perdana Menteri. Saya seorang Melayu, saya seorang pemimpin Melayu - PM juga - Tetapi saya akan sentiasa menjadi pemimpin Malaysia," katanya.

Lihat Komen