malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tg Piai: BN umum calon seminggu sebelum penamaan calon
ADS

Calon yang akan mewakili BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon, kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

Beliau berkata, pengumuman itu akan dibuat pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan berlangsung 26 atau 27 Okt depan di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur.

"Atau kita terpaksa tunggu Pakatan Harapan (PH) umum calon dan kita akan umum calon kita selepas itu," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya samada Umno akan meletakkan calon, Annuar berkata ia akan diputuskan berdasarkan kaji selidik yang dibuat terhadap pengundi Tanjung Piai.

Bagaimanapun katanya, apa juga keputusan akan dibuat Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menentukan parti mana yang akan mewakili BN.

"Kita telah selesai satu kajian sensitiviti dan kajian sikap pengundi di Tanjung Piai dan kita dapati ada kepelbagaian pendapat.

"Ada yang nak Umno sebab MCA tidak menang baru-baru ini, kenapa tidak cuba calon daripada Umno.

"Ada juga nak MCA sebab kalah tidak banyak," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini dan pengundian awal pada 12 November.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya selepas mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK itu, pengerusinya, Azhar Azizan Harun turut mengumumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 2 November.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari PH-Bersatu pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, seorang anestesiologi dari segi profesion, membantu PH merampas kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

Wee memperolehi 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.

Selasa lalu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mahukan calon MCA bertanding pada PRK Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November ini.

Beliau berkata Umno tidak boleh merampas kerusi parlimen itu dan menegaskan persefahaman yang terbina antara Umno dan MCA di Tanjung Piai juga wajar dipertahankan.

Sementara itu, Annuar memaklumkan Umno telah memberi gambaran kepada presiden parti itu untuk dibincangkan bersama BN.

Katanya, PAS tidak akan campur tangan dalam soal pemilihan calon BN bagi PRK Tanjung Piai.

"PAS tak letak calon, BN akan letak calon dan tiga parti komponen akan bincangkan," katanya.

Lihat Komen