malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pembangkang tak bentang bajet alternatif tahun ini
ADS

Pembangkang tidak membentangkan bajet alternatif bagi Belanjawan 2020 yang akan dibetangkan kerajaan esok, kata Annuar Musa.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, bajet yang dibentangkan pembangkang tahun lalu masih terpakai untuk tempoh tiga tahun.

"Kita bukan kerajaan, kita pembangkang. Bajet kita bentang dari segi dasarnya terpakai untuk tiga tahun.

"Pihak kerajaan kena bentang tiap-tiap tahun sebab kita tahu kena bentang jumlah untuk dibelanjakan bukan sahaja polisi.

"Kita pembangkang, kita tidak perlu (bentang) tiap-tiap tahun," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Tahun lalu, anggota parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mewakili BN membentangkan Inisiatif Ekonomi Rakyat, satu ‘belanjawan bayangan’ 2019 yang antara lain mencadangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan pada kadar tiga peratus.

Khairy yang juga pengerusi jawatankuasa portfolio kewangan kabinet bayangan BN, berkata walaupun kadar GST ini lebih rendah berbanding enam peratus semasa pelaksanaannya, ia dijangka dapat mengutip hasil lebih tinggi berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Antara lain, anggota Parlimen Rembau itu berkata inisiatif berkenaan turut mencadangkan beberapa cukai baharu termasuk cukai soda pada kadar RM0.25 bagi setiap liter yang dijangka memberikan hasil RM360 juta setahun dan akan digunakan bagi dana kesihatan.

Selain itu, turut dicadangkan ialah cukai kekayaan terhadap individu yang mempunyai harta terkumpul tahunan melebihi RM10 juta, dan cukai beg plastik yang dijangka dapat mengutip RM1.46 bilion setahun menerusi kutipan RM0.15 daripada setiap RM0.20 caj ke atas pembelian beg plastik.

Ditanya mengenai peruntukan bagi menampung antara lain program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dicadang ditambah baik serta penyambungan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Khairy berkata ia tidak ada masalah untuk dilakukan.

Sementara itu, Annuar berkata apa yang dibentangkan oleh pembangkang dalam bajet alternatif adalah membabitkan perkara dasar saja.

"Kita bentang dasar, jadi dasar kita masih kekal dan kita fikir tak perlu bentang tiap-tiap tahun,” katanya.

Lihat Komen