malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hanipa mengaku buat kesilapan besar, Azalina maafkan
Diterbitkan:  Oct 10, 2019 10:29 AM
Dikemaskini: 6:27 AM
ADS

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, hari ini mengakui beliau melakukan kesilapan besar apabila membuat kenyataan seksis ke atas Anggota Parlimen Pengerang, Azalina Othman, semalam.

"Kebenaran perlu dinyatakan. Saya sudah membuat kesilapan besar.

"Saya tak patut sama sekali berkata demikian walaupun untuk bergurau. Ia adalah sempadan yang tidak sepatutnya saya cerobohi sejak awal.

"Saya tidak ada alasan sama sekali. Justeru, dengan ikhlas hati saya menyesali perbuatan tersebut," katanya.

Semalam Hanipa dan Azalina terbabit dalam perbalahan lisan semasa berbahas di Dewan Rakyat.

Azalina - yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri - berkata beliau terpaksa memakai cermin mata untuk melihat Hanipa.

“Tuan Speaker, saya tengah pasang cermin mata, nak tengok YB timbalan menteri dengan begitu jelas, kadang-kadang nampak kecil, kadang-kadang nampak besar,” kata Azalina. 

Biar jadi yang terakhir

Kenyataan itu mendorong Hanipa membalas: “Saya jawab Pengerang. Pengerang kata (saya) kadang-kadang gemuk, kadang nampak kuruskan? Macam Pengerang, dia nampak macam perempuan, dia nampak macam lelaki,” katanya.

Kenyataan itu menyebabkan ramai anggota parlimen bangkit membantahnya. Hanipa kemudian menarik balik kenyataan tersebut.

Menurut Hanipa walaupun berbeza parti dan pendirian politik, beliau tetap menghormati Azalina sebagai seorang rakan.

Katanya, beliau tidak pernah terfikir untuk membuat kenyataan seumpama semalam terhadap sesiapa pun.

"Ia memang satu kesilapan. Saya tak ada alasan. Saya mengaku salah," katanya.


Baca Bung mohon maaf kerana mencarut


Hanipa menambah, beliau membaca ciapan Azalina di Twitter dan berpendapat anggota parlimen Umno itu memang berhak menyatakan kemarahannya.

Kata anggota parlimen Sepang itu, kenyataan yang dibuatnya semalam hanya dikeluarkan oleh seseorang yang berpewatakan rendah.

"Sekali lagi saya mengaku salah," katanya.

Sementara itu Azalina dalam kenyataan kemudiannya berkata, beliau menerima permohonan maaf Hanipa namun kecewa dengan sikap timbalan menteri yang dianggapnya tidak berhemah.

"Kenyataan sebegitu tidak sepatutnya datang daripada seorang timbalan menteri, dan apa-apa perbuatan atau kenyataan yang seksis terhadap wanita tidak boleh diterima, tanpa mengira sesiapa pun.

"Hormatilah wanita dan hentikan segala macam ucapan dan pertimbangan berdasarkan penampilan mereka dan lain-lain.

"Saya harap semua anggota parlimen akan menghentikan kenyataan dan penghinaan seksis sedemikian.

"Biarkan kejadian itu menjadi yang terakhir," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen