malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
S'wak siap siaga hadapi banjir musim Monsun Timur Laut
Diterbitkan:  Oct 9, 2019 10:11 PM
Dikemaskini: 2:11 PM
ADS

Sarawak siap siaga menghadapi banjir ekoran musim Monsun Timur Laut dengan seramai 14,970 pegawai dan anggota pelbagai agensi keselamatan Sarawak sedia digerakkan, kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata kesemua agensi terlibat terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).

Dari segi logistik, katanya pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) telah menyusun atur sebanyak tiga buah helikopter, lima dron, 211 lori, 500 kenderaan pacuan empat roda, 291 bot dan 111 ambulans.

Selain itu, Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata pihak kerajaan negeri juga telah bersiap sedia dengan 622 pusat pemindahan yang dapat menempatkan seramai 195,825 mangsa.

“JKM negeri turut menyediakan pangkalan hadapan di 16 kawasan iaitu dua di Kuching, Kapit (4), Bintulu (3) dan Miri (7).

"Bagi stor dan depot pula, terdapat tiga kawasan iaitu di Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kuching, Samarahan dan Miri," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN untuk meneliti persediaan bagi menghadapi musim berkenaan, di Kuching, hari ini.

Menurut Uggah, sepanjang November sehingga Mac ini beberapa siri hujan monsun yang menyeluruh dijangka berlaku, lebih tertumpu di bahagian tengah dan barat Sarawak yang mana sekiranya hujan berterusan selama tiga hari berturut-turut, boleh mengakibatkan banjir di kawasan berkedudukan rendah dan cenderung banjir,

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang tinggi, risiko kejadian banjir akan menjadi lebih buruk lagi. Ketinggian air pasang paling tinggi ketika air pasang boleh mencecah sehingga 6.5 meter.

"Semasa fasa ini juga, kejadian hujan lebat dan ribut petir setempat dalam jangka masa singkat serta angin kencang lebih kerap dijangka berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan bahagian di Sarawak terutamanya di Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu," katanya.

Uggah berkata berdasarkan ramalan cuaca, Bintulu dan Miri dijangka menerima jumlah hujan antara 300 milimeter hingga 500mm pada November dan Disember, manakala Sri Aman, Sarikei, Mukah dan Sibu dijangka menerima jumlah hujan di antara 400mm hingga 550mm pada Disember dan Januari.

“Pada bulan Januari dan Februari pula Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian dijangka menerima jumlah hujan yang tinggi di antara 400mm hingga 800mm," katanya.

Pada mesyuarat hari ini, Uggah turut menyerahkan 3,000 keping penutup hidung dan mulut ‘AirPlus Smart Mask’ dan 200 keping ‘AirPlus Micro Ventilators’ sumbangan Temasek Foundation International CLG Limited melalui Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak di Singapura kepada APM Sarawak.

- Bernama

Lihat Komen