malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gerakan pertimbang letak calon di Tanjung Piai
ADS

Selepas tidak bertanding dalam semua lapan pilihan raya kecil yang diadakan sejak PRU ke-14, Presiden Gerakan Dominic Lau hari ini berkata parti itu serius mempertimbangkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai yang akan datang.

Lau berkata akar umbi Gerakan telah mendesak parti itu untuk bertanding kerana ia masih parti politik walaupun telah keluar BN pada Jun tahun lepas.

"Sama ada kami akan bertanding atau tidak, kita perlu melalui pelbagai peringkat.

"Kami menerima banyak maklum balas daripada akar umbi yang menasihatkan kami untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai kerana kami adalah parti politik," kata Lau semasa sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

"Sebagai parti politik, jika kita tidak bertanding maka ini akan menjadi pilihan raya kecil kesembilan yang kita tidak ambil bahagian.

"Oleh itu, Gerakan kini perlu mempertimbangkan dengan serius untuk mengambil bahagian," katanya, memberi gambaran bahawa keputusan akhir mengenai perkara itu akan dibuat pada minggu depan.

Lau berkata biro politik Gerakan telah bermesyuarat pada hari Sabtu lalu dan memutuskan untuk meletakkan calon di Tanjung Piai.

"Tetapi beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya, sambil menambah bahawa parti itu akan mendapatkan maklum balas daripada akar umbi terutama di Tanjung Piai dan kerusi parlimen Pontian yang berdekatan.

"Sekiranya kita mengambil keputusan untuk bertanding, pasukan petugas pilihan raya akan dibentuk," katanya menjawab soalan pemberita sama ada Gerakan sudah mengenal pasti calon yang akan diletakkan.

Kerusi Tanjung Piai kosong susulan kematian penyandangnya, Mohamed Farik Md Rafik dari Bersatu.

Di tengah-tengah dakwaan Umno untuk bertanding di Tanjung Piai, presiden MIC SA Vigneswaran dilaporkan bertegas semalam bahawa MCA harus dikekalkan untuk bertanding di bawah tiket BN.

Kerusi Tanjung Piai secara tradisinya menyaksikan pertandingan antara MCA dan DAP, tetapi DAP telah memberi laluan untuk Bersatu bertanding pada PRU ke-14 lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa gabungan itu akan meletakkan calon dari Bersatu pada pilihan raya kecil pada 16 Nov ini.

Pada 5 Oktober lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan membayangkan bahawa Umno boleh bertanding kerusi itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa PRK akan diadakan pada 16 Nov, manakala hari penamaan calon jatuh pada 2 Nov dan pengundian awal adalah pada 12 Nov.

 

Lihat Komen