malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid: Pelawaan Mat Hasan bukan pendirian rasmi Umno
ADS

Pelawaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) adalah adalah bersifat peribadi, kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi kedua-dua parti itu.

"Cadangan Timbalan Presiden Umno itu merupakan cadangan peribadi dan ia tidak diputuskan dalam Majlis Tertinggi (MT) parti.

"Jadi ianya adalah sesuatu yang pada hemat saya tidak boleh dianggap sebagai satu pendirian rasmi oleh parti sendiri," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menolak pelawaan Mohamad untuk membentuk kerajaan baru bersama Umno dan PAS.

Beliau berkata, sebagai negara berbilang kaum, kerajaan yang dibentuk harus merangkumi masyarakat majmuk dan tidak hanya terdiri daripada kaum tertentu semata-mata.

"Kita tidak minat untuk membuat kerajaan baru. Kita sedar negara kita adalah negara berbilang kaum dan pihak kerajaan daripada kita merdeka sehingga sekarang mempunyai ahli yang terdiri daripada semua kaum.

"Itu sesuatu hakikat yang kita tidak boleh tolak bahawa negara kita adalah negara berbilang kaum dan semua kaum mempunyai hak dalam negara kita," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Pada 7 Okt, Mohamad mempelawa Dr Mahathir menubuhkan sebuah kerajaan baru sekiranya perdana menteri benar-benar ikhlas mahu memulihkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pemberhentian operasi Utusan Malaysia hari ini, Zahid berkata Umno tidak dapat membantu syarikat penerbitan itu kerana akaunnya kini dibekukan pihak berkuasa.

Oleh itu, Umno menyerahkan kepada pihak pengurusan baru Utusan Melayu (M) Berhad untuk menentukan hala tuju syarikat penerbitan akhbar itu.

"Apa yang berlaku dan nasib yang menimpa pekerja Utusan adalah satu yang amat sedih bukan hanya kepada warga kerja Utusan tetapi kepada orang ramai khususnya pembaca.

"Ini kerana akaun Umno sendiri yang sering membantu kewangan Utusan tidak dapat dilakukan lagi kerana akaun parti dibekukan.

"Kita serahkan kepada pengurusan baru dan juga pemilik saham yang baru untuk menentukan masa hadapan Utusan kerana Umno sudah tidak lagi memegang saham dalam Utusan," katanya.

Lihat Komen