malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Dr M tak dedah tarikh alih kuasa sebab tak mahu jadi PM tak berfungsi'
ADS

Ketika isu peralihan kuasa perdana menteri terus diperkatakan, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendedahkan sebab Dr Mahathir Mohamad tidak mendedahkan tarikh sebenar untuk menyerahkan jawatan kepadanya.

Bercakap di sesi soal jawab di Persidangan Kepimpinan Apex, Anwar menceritakan semula perbualannya dengan perdana menteri berhubung peralihan kuasa berkenaan.

Menurutnya, Dr Mahathir memberitahu kepadanya bahawa soalan tentang peralihan kuasa yang diajukan media seolah-olah menggesa pemimpin berusia 94 tahun itu memberikan tarikh sebenar sehingga membuatkan beliau seperti seorang perdana menteri yang tidak berfungsi.

"Dr Mahathir telah mengulangi kata-katanya, tetapi baisalah. Dr Mahathir kadang-kadang kata setahun (lagi), dua tahun, tiga tahun, dan Dr Mahathir kelihatan seperti mengelak.

"Saya kata tidak, saya adalah perdana menteri yang menunggu dan orang ramai terus-menerus (bertanya), pada setiap sidang media (termasuk) CNN bertanya bila anda (Dr Mahathir) akan bersara.

"Saya takkan pandang ringan perkara ini. Berikan beliau masa dan teruskan (tugasnya). Itu apa yang beliau katakan kepada saya dan saya menghargai tindakannya.

"Katanya, 'Anwar, saya telah janji dan saya akan kotakannya. Tapi jangan macam ini - paksa saya, buat saya umumkan tarikh sebenar kerana saya akan jadi (seperti) perdana menteri yang tidak berfungsi (lame duck)," katanya di Hotel Pullman, Bangsar di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika apabila menjawab soalan penjelasan isu penggantian jawatan yang dipercayai masih sedang diperbincangkan.

Untuk rekod, Dr Mahathir baru-baru ini menyebut bahawa beliau akan kekal memegang jawatan perdana menteri selama tiga tahun, walaupun kemudian menyangkalnya dengan mengatakan tiga tahun itu adalah masa diperlukan untuk memperbetulkan banyak perkara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata ia bukan soal apa yang beliau mahukan tetapi menurutnya negara perlukan dasar-dasar baru, memperolehi keyakinan daripada rakyat Malaysia dan memperkasakan ekonomi.

Anwar turut mengingatkan bahawa ada perjanjian bertulis berhubung peralihan kuasa tersebut yang menyatakan secara umum bahawa Dr Mahathir sebagai perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan dan seterusnya beliau akan mengambil alih sebagai perdana menteri selepas dibebaskan dari penjara.

Tambah Anwar, tidak adil bagi Dr Mahathir, dirinya dan negara jika orang ramai tidak berhenti membuat spekulasi berhubung perkara itu.

Justeru, Anwar yang merupakan ahli parlimen Port Dickson meminta semua pihak tidak bertanyakan kepada Dr Mahathir berhubung peralihan kuasa.

Lihat Komen