Pengiklanan

    Pekerja Utusan boleh mohon bantuan SIP Perkeso - Kula Segaran

    (Dikemaskini )

    Pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Utusan) yang diberhentikan dari segi undang-undang boleh memohon bantuan daripada Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

    Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata SIP bertindak sebagai jaminan sosial yang bertujuan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan memberikan bantuan kepada mereka.

    "SIP ini adalah satu sistem insurans pekerjaan, di mana selama enam bulan (selepas diberhentikan) mereka (pekerja) akan diberikan beberapa bayaran gaji.

    "Ketika itu, SIP juga akan membantu mencari kerja alternatif, mereka juga akan mendapatkan majikan untuk menemu duga pekerja berkenaan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

    Beliau mengulas laporan berita tentang Utusan yang secara rasmi menamatkan operasinya ekoran masalah kewangan.

    Hari bekerja terakhir bagi pekerja Utusan Melayu ialah hari ini manakala hari terakhir perkhidmatan ialah pada 31 Okt. Utusan merupakan penerbit akhbar harian berbahasa Melayu yang tertua di negara ini.

    Dalam kenyataan semalam Utusan berkata ia akan akan melepaskan 70 peratus pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd.

    Dilof merupakan pemegang permit bagi penerbitan dua akhbar berbahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo.

    Sementara itu Kula Segaran meminta pengurusan Utusan supaya menimbangkan kembali keputusannya untuk menghentikan operasi.

    Beliau berkata syarikat akhbar itu harus mencari jalan penyelesaian alternatif yang lain kerana keputusan itu menjejaskan kehidupan pekerjanya.

    “Saya harap pihak pengurusan Utusan akan menimbang semula (mentutup operasi), mungkin ada pihak lain yang boleh mengambil alih syarikat itu,” katanya.

    - Bernama

     

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih