Pengiklanan

    Kes Isa Samad: Tiada kelulusan rasmi, tapi ada 'kelulusan tersirat' - saksi

    (Dikemaskini )

    Biarpun tiada kelulusan rasmi terhadap pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), saksi kelima, bekas pengarah besar Felda, Hanapi Suhada bersetuju telah ada “kelulusan secara tersirat” di pihak lembaga Felda.

    Persetujuan itu disuarakan Hanapi dalam sesi soalan balas oleh peguam bela bekas pengerusi Felda, Isa Samad, Salehuddin Saidin dalam perbicaraan rasuah dan pecah amanah bekas perbicaraan rasuah dan pecah amanah Isa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

    Kata Salehuddin, memandangkan tiada satu prosedur operasi standard (SOP) khusus tentang penyediaan kertas kerja berhubung pelaburan melebihi had dalam mandat Felda sebanyak RM100 juta seperti keterangan saksi kedua, maka terpulang kepada anak syarikat bagaimana membuat permohonan.

    Cadangan Salehuddin itu dipersetujui oleh Hanapi.

    Merujuk kepada minit untuk mesyuarat Felda yang diadakan pada Disember 2014 yang mengandungi maklumat tentang pembelian MPHS, Salehuddin turut menegaskan bahawa tiada bangkangan oleh lembaga Felda terhadap pembelian tersebut.

    Salehuddin: Ada tak dicatitkan mana-mana ahli lembaga pengarah (ALP) tak bersetuju?

    Hanapi: Tidak.

    Salehuddin: (Maknanya) pembelian MPHS tak pernah diselidungkan daripada ALP Felda?

    Hanapi: Betul.

    Salehuddin: Setuju tak, bahawa ini menunjukkan (adanya) kelulusan secara tersirat, bahawa tak ada masalah dengan pembelian ini?

    Hanapi: Setuju.

    Salehuddin: Tak pernah pun FIC sorokkan pembelian MPHS, sejak seawal Disember 2014, dan seawal Disember 2014, ALP Felda patut persoalkan (jika tidak meluluskan), tetapi tidak dibangkitkan oleh ALP Felda. Betul kan?

    Hanapi: Betul.

    Malah, tambah Salehuddin, ketika Isa meminta Hanapi membawa permohonan untuk menyegerakan bayaran RM100 juta kepada Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAP) ke mesyuarat lembaga Felda pada Mei 2015, hal itu juga tidak ada dipersoalkan oleh ALP Felda.

    Perbicaraan yang masuk hari ketiga itu diadakan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Bagaimanapun, dalam pemeriksaan semula, timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz meminta penjelasan lanjut daripada Hanapi tentang perbezaan jawapannya dalam keterangan bertulis dan soalan balas.

    Ini kerana, menurut Afzainizam, Hanapi bersetuju dengan cadangan Salehuddin dalam soalan balas bahawa kertas kerja tidak diperlukan kerana telah ada kelulusan tersirat, sedangkan dalam keterangan bertulisnya, Hanapi menjelaskan perlu ada kertas kerja untuk kelulusan pembelian melebihi mandat.

    Afzainizam: Bagi pembelian MPHS yang bernilai RM160 juta, melebihi mandat RM100 juta, adakah lembaga (Felda) boleh berikan kelulusan secara tersirat? (Implied)

    Hanapi: Tak boleh. Mesti ada kertas kerja yang dibawa dalam mesyuarat lembaga.

    Isa - yang juga bekas pengerusi FIC - dituduh melakukan pecah amanah dengan memainkan peranan aktif dalam pembelian MPHS pada harga RM160 juta tanpa kelulusan ALP Felda.

    Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat lembaga Felda pada 2013 yang menyatakan mereka memberi mandat kepada ahli Lembaga Pengarah FIC membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai bawah RM100 juta.

    Isa turut berhadapan sembilan lagi tuduhan menerima suapan RM3,090,000 daripada Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, yang memiliki MPHS, sebagai upah kerana membantu meluluskan pembelian aset tersebut.

    Terdahulu, dalam sesi soalan tambahan, Hanapi turut mengesahkan bahawa Isa tidak membangkitkan soal kelulusan pembelian MPHS dalam mesyuarat ALP Felda, dipengerusikan Isa sendiri pada 2015, yang ada membincangkan bayaran pendahuluan RM100 juta kepada FIC untuk pembelian itu.

    Afzainizam: Dalam kedua-dua mesyuarat itu (Jund dan Ogos 2015), yang dihadiri Isa sebagai pengerusi mesyuarat dan kamu (sebagai timbalan pengarah besar Felda ketika itu), ada atau tidak dalam kedua-dua mesyuarat itu, Tan Sri Isa memaklumkan, yang pertama, MPHS yang dibeli pada RM160 juta ini belum diluluskan lembaga Felda. Kedua, ada atau tidak Tan Sri Isa memaklumkan, beliau meminta lembaga untuk meluluskan pembelian atau meminta ratifikasi pembelian MPHS yang melebihi RM100 juta. Ada tak Tan Sri Isa berbuat demikian?

    Hanapi: Tak ada.

    Sementara itu, dalam sesi soalan balas juga, Hanapi turut bersetuju bahawa Isa bukanlah seorang pengerusi yang bersikap memaksa ALP untuk mengikut pandangan beliau dalam mesyuarat.

    Hanapi juga bersetuju bahawa setiap kali mesyuarat lembaga Felda, Isa akan membenarkan ALP untuk menyuarakan pandangan dan membuat keputusan mereka sendiri, serta tidak pernah mempengaruhi ALP untuk hanya mengikut kehendaknya.

    Hanapi memegang jawatan pengarah besar Felda dari 1 April 2015 sehingga bersara wajib pada 15 Mei 2017.

    Hanapi juga merupakan anggota Lembaga Pengarah FIC antara 8 Julai 2015 hingga 6 Jun 2017.

    Sementara itu, dalam perbicaraan sebelah petang, saksi keenam, bekas penolong pengurus Maybank cawangan Jalan Maktab, Khursiah Md Taib, dan saksi ketujuh, bekas penolong pengurus Maybank cawangan Wisma Satok, Yeo Haw Yong mengesahkan berlaku aliran wang dari FIC ke GAP.

    Antaranya, pemindahan berjumlah RM16 juta (Julai 2014), RM97, 993, 061 (Mei 2015) dan RM2,312,889.71 (Oktober 2015), serta melalui cek berjumlah RM1,000,009 (Julai 2014), RM2,695,433 (Oktober 2014), dan RM6,304,567 (Mei 2015).

    Perbicaraan bersambung Isnin.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih