Pengiklanan

    Polis cari 56 individu lagi bantu siasatan kematian Adib

    (Dikemaskini )

    Hampir setahun selepas pengumuman polis, hanya 10 daripada 66 individu yang dicari bagi siasatan terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, tampil ke hadapan.

    Justeru Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed menggesa mereka yang belum berbuat demikian agar tampil ke hadapan untuk membantu siasatan polis.

    Kesemua 66 individu itu dipercayai berada di Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya, atau sekitarnya, ketika rusuhan berlangsung pada November tahun lalu.

    "Selepas media menyiarkan gambar mereka, hanya 10 orang memberi maklum balas. Bakinya belum menghubungi kami. Kami menyeru mereka supaya berhubung dengan pihak polis," katanya kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

    Huzir Mohamed

    Pengumuman itu dibuat ketika Adib masih memerima rawatan dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan untuk cubaan bunuh.

    Kes itu kemudian ditukar ke Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh, selepas Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara.

    Dalam pada itu, Huzir menegaskan empat suspek yang dipercayai banyak pihak sebagai berkaitan dengan kes itu, sebagai langsung tidak berkaitan.

    "Pada mulanya, polis menahan 12 individu untuk siasatan bawah Seksyen 307. Enam daripadanya ada sekitar kuil ketika kejadian manakala enam lagi ditahan di satu lagi tempat kejadian, MCT Tower - kira-kira satu kilometer dari kuil.

    "Empat suspek adalah kalangan yang ditahan di CMT Tower," katanya.

    Huzir berkata, kekeliruan terhadap empat individu itu tercetus selepas dua media pada 10 Disember 2018 menggunakan tajuk berita  "4 suspek yg disyaki menyerang Adib dibebaskan dari Reman" dan "4 suspek pukul Muhammad Adib bebas dgn bon mahkamah dan jamin polis".

    "Maka kami menyeru semua pihak hentikan spekulasi berhubung kes ini," katanya lagi.

    Katanya, secara keseluruhan polis menerima sejumlah 5,178 laporan berkenaan insiden rusuhan itu dan membuka 69 kertas siasatan.

    "Sejumlah 29 individu telah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan berdasarkan tujuh kertas siasatan. 50 kertas siasatan diklasifikasi sebagai "tiada tindakan lanjut" (NFA) manakala 12 lagi masih belum ditutup, termasuk berkaitan kes bunuh," katanya.

    Mahkamah Koroner Shah Alam sebelum ini memutuskan kematian Adib berpunca daripada perbuatan jenayah oleh dua atau tiga penyerang tidak dikenali, ketika rusuhan di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya pada November lalu.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih