malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Ini politik bangang, saya sebut maruah, bukan barua’
Diterbitkan:  Oct 9, 2019 12:44 PM
Dikemaskini: 4:53 AM
ADS

Anwar Ibrahim menyelar penularan video yang mendakwa beliau menyebut Kongres Maruah Melayu sebagai “Kongres Baruah”.

“Itu politik bangang,” kata presiden PKR ketika ditanya sama ada beliau tersalah sebut perkataan maruah sebagai barua dalam sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya pada Ahad.

Ditanya pemberita di parlimen hari ini, Anwar berkata ketika gurauan dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad itu, beliau sebenarnya menyebut perkataan yang betul.

“Saya gurau dengan PM dan Mat Sabu. (Saya kata) semangat maruah ini, PM dengar,” jelasnya.

Berdasarkan video, Anwar bergurau dengan berkata: "Lepas pi (pergi) kongres maruah ni, dia semangat lain macam".

Mohamad pula, sambil bergerak meninggalkan majlis, kedengaran menjawab: "Kongres Melayu ni, Melayu bermaruah."

Menurut rakaman juga, Mahathir bergurau dengan wartawan dengan bertanya sama ada mereka mahu beliau bergaduh dengan Anwar.

Mahathir berbuat demikian selepas Anwar, dalam satu isu, ditanya sama ada beliau bersetuju dengan pandangan perdana menteri.

Anwar bagaimanapun berkata mereka sependapat.

Mahathir: (Sambil membuat isyarat menumbuk) Awak mahu saya lawan? OK, saya lawanlah.

Anwar: Sabar, Sabar.

Mahathir: Tension, tension.

Majlis gamat dengan gelak ketawa.

Sementara itu, Mohamad ketika ditanya pemberita secara berasingan berkata beliau tidak pasti dengan perkataan disebut Anwar itu.

"Dia jauh daripada saya, masa itu kita sedang keluar daripada mesyuarat. Kena semak dengan Anwar sendiri,” katanya.

Khairuddin serang Anwar

Penyokong tegar Mahathir yang terkenal dengan kelantangannya, Khairuddin Abu Hassan, pula hari ini menyerang Anwar susulan kontroversi itu.

Khairuddin Abu Hassan

Beliau antaranya menyifatkan Anwar sebagai penyangak, hipokrit dan musang berbulu ayam.

“Dia ini sebenarnya ‘penyangak’ yang sedang berlakon mempamerkan watak tokoh pemimpin. Sebab itu saya sering kali nyatakan Anwar Ibrahim adalah manusia hipokrit dalam segenap segi.

“Kalau Anwar Ibrahim cuba hendak bergurau sekalipun; perkataan ‘barua’ tidak sesuai sama sekali disebut di hadapan seorang perdana menteri yang usianya lebih tua dari beliau,” katanya.

Lihat Komen