malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syed Husin dakwa Azmin nak tubuh parti baru, tapi Zuraida nafi
ADS

WAWANCARA | Pengasas bersama PKR Syed Husin Ali mendakwa timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali merancang menubuhkan parti baru apabila pergeserannya dengan Anwar Ibrahim kian meruncing.

Ia merupakan satu daripada tiga perancangan yang diusahakan Azmin mutakhir ini, menurut bekas timbalan presiden PKR itu dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Bagaimanapun, pemimpin PKR yang rapat dengan Azmin menafikan dakwaan itu.

Syed Husin yang kini menjadi ahli biro politik dan lembaga penasihat PKR, berkata beliau tahun bahawa Azmin serius untuk menubuhkan parti baru.

Beliau merujuk kepada rentetean peristiwa selepas penyebaran video seks yang mengaitkan Azmin pada pertengahan Jun lalu.

"Memang sudah diketahui yang mereka (Azmin dan kemnya) ada tiga rancangan sejak dari awal. Pertama, sertai Bersatu. Tetapi kumpulannya ada beberapa orang bukan Melayu dan mereka tidak akan ada tempat dalam Bersatu.

"Kemudian mereka cuba Gerakan dan ada usaha untuk menimbang Gerakan. Tetapi parti itu terlalu rapat dengan BN dan ada di kalangan mereka tidak gembira dengan itu.

"Saya ada maklumat peribadi berkenaan siapa yang buat rundingan. Dan saya juga ada maklumat peribadi yang pimpinan Gerakan mahu berjumpa Anwar untuk membincangkan perkara itu, tetapi Anwar enggan bertemu mereka," katanya lagi sambil menambah seorang pemimpin kanan dalam kem Azmin telah bertemu Gerakan dan parti itu sendiri mengakuinya.

Kata Syed Husin lagi, rancangan ketiga ialah untum menubuhkan parti sendiri dan pada satu tahap "Azmin serius tentangnya".

"Ramai di kalangan kami berkata jika mereka tubuh parti baru, itulah penamatnya, pengakhiran kepada kemnya," katanya lagi.

Ahli politik veteran itu yakin Azmin dan kemnya juga merancang untuk membuat provokasi dengan tidak menghadiri mesyuarat parti, agar mereka dipecat dan akan dilihat sebagai "wira".

Ketika dihubungi, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin - salah seorang pemimpin kanan dalam kem Azmin - berkata soal parti baru "tidak pernah" dibincangkan.

"InsyaAllah, kami akan kekal untuk mengukuhkan parti (PKR)," katanya.

Pemimpin lain yang dikaitkan dengan Azmin, seperti Ketua Wanita Haniza Talha dan Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli, turut menafikan ada perbincangan tentang menubuhkan parti baru.

Menurut Syed Husin, Azmin dan Zuirada tidak hadir mesyuarat mingguan biro politik dan mesyuarat bulanan majlis pimpinan pusat PKR pada tahun ini.

PKR dilaporkan telah mengarahkan pemimpinnya agar patuh terhadap disiplin parti dengan hadir ke mesyuaratnya.

"Mereka mahu dipecat (tetapi kenapa kami akan berbuat demikian?). Situasi sekarang seperti Catch-22 kerana mereka tidak dibuang," katanya.

Anwar dan Azmin bertikam lidah secara terbuka selepas penyebaran video seks yang mengaitkan Azmin pada Jun.

Pada 18 Julai, sejumlah 26 pemimpin dan ahli kanan PKR, termasuk 14 anggota parlimen, menggesa Anwar agar berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh memecahbelahkan parti.

Anwar pula mendakwa beliau memiliki sokongan majoriti anggota parlimen untuk menjadi perdana menteri seterusnya. Selain itu beliau mengadakan temu rapat yang dhadiri lebih 120 pemimpin PKR untuk menunjukkan kekuatannya dalam parti.

Sementara itu, Syed Husin menyangkal tanggapan parti itu akan berpecah, dan berkata Anwar memiliki sokongan 93 peratus cabang parti.

"Orang berkata ada perpecahan dalam Keadilan (PKR). Ia bermakna setiap kem mengawal separuh (sokongan parti), tetapi ia tidak begitu.

"sejumlah 93 peratus cabang PKR dan 133 daripada 140 pemimpin parti yang hadir ke temu rapat di Port Dickson menyokong Anwar. Dengan kata lain, Azmin dan Zuraida kini minoriti kecil," katanya lagi.

Syed Husin berkata amat malang keadaan itu terjadi kepada Azmin, yang menggantikan tempatnya sebagai timbalan presiden pada 2010.

Ketika itu, beliau memutuskan untuk memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda dan tidak bertanding dalam pemilihan parti. Azmin kemudian menewaskan Zaid Ibrahim yang turut merebut jawatan itu.

Laporan tambahan oleh Zikri Kamarulzaman

Lihat Komen