malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kempen #BoycottMalaysia tak jejas hubungan dengan India - Saifuddin
ADS

Kempen #BoycottMalaysia yang dilancarkan rakyat India di laman sosial Twitter tidak menjejaskan kedudukan negara di persada antarabangsa serta hubungan dua hala antara Malaysia dan India.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata pihaknya yakin kempen boikot sebagai respons kepada ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 di New York yang menyentuh isu Jammu dan Kashmir itu, kini semakin menurun.

“Kita telah menganalisis, saya yakin boikot itu semakin menurun dan boleh dikatakan tidak ada lagi pada hari ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata demikian semasa menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu pendirian Malaysia terhadap kempen #BoycottMalaysia yang dilancarkan rakyat India susulan ucapan Dr Mahathir di UNGA baru-baru ini.

Kenyataan Dr Mahathir, yang antara lain menyentuh isu Jammu dan Kashmir dan menyeru India bekerjasama dengan Pakistan menyelesaikan isu itu, mengundang banyak komen netizen, dipercayai warga India, di laman Twitter yang menyuarakan rasa kecewa mereka menerusi #BoycottMalaysia.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim (PAS-Kuala Terengganu) mengenai langkah terkini dalam membantu penduduk di Kashmir, Saifuddin berkata Malaysia memantau rapat keadaan yang berlaku di wilayah itu dan akan terus lantang menyuarakan kebimbangan kepada pemimpin yang berkaitan.

“Dalam hal tertentu, ada yang kita boleh nyatakan begitu lantang dan nyata namun ada yang berlaku begitu sensitif contohnya pada waktu ini, jadi kita ada perkara yang kita boleh buat dan tak boleh dilakukan.

“(Dalam situasi Kashmir), dia betul-betul di satu tempat yang berlaku yang mana Malaysia secara rasmi tidak ada akses, melainkan kita berhubung dengan kedua-dua pihak untuk elakkan perkara sedang berlaku menjadi lebih serius dan merosakkan keadaan,” katanya.

Sementara itu, semasa menjawab isu sama dalam sesi soal jawab lisan, Saifuddin mencadangkan supaya Ahli Parlimen mengadakan satu Kaukus Khas bagi membaiki kelemahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan isu-isu kemanusiaan.

“Tahun depan, PBB akan sambut ulang tahun ke-75, saya difahamkan Parlimen akan meluluskan Jawatankuasa Pilihan Khas tentang perhubungan dan perdagangan antarabangsa,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang ingin tahu langkah Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa supaya mematuhi resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB.

- Bernama

Lihat Komen