malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tegur Melayu: ‘Saya suarakan kebenaran’
ADS

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tegurannya terhadap orang Melayu yang dibangkitkan dalam Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, Ahad lalu.

Beliau berkata, apa yang dibangkitkannya pada kongres itu adalah kebenaran dan bertujuan untuk membetulkan sikap orang Melayu.

"Saya ingin cakap kebenaran, kalau saya dapati ada orang tak nak kerja makna dia tidak ada minatlah.

"Kalau kita tak boleh tegur orang, macam mana kita nak betulkan orang. Kalau dia buat salah pun kita puji, itu salah.

"Saya cuma berkata maruah orang Melayu ini akan dipulih semula oleh orang melayu sendiri," katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahad lalu ketika berucap pada Kongres Maruah Malayu, Mahathir menegaskan hanya Melayu yang boleh memulihkan maruah mereka sendiri yang sering dipandang hina di negara sendiri tanpa mengharapkan orang lain untuk melakukannya.

Perdana Menteri berkata kerajaan dengan sendirinya walaupun dipimpin oleh Melayu, tidak boleh memulihkan maruah Melayu sekiranya kaum itu tidak mahu berusaha untuk mengubah nasib mereka.

Mahathir juga mengkritik sikap Melayu enggan melakukan kerja berat, kotor dengan kadar gaji kira-kira RM1,000.

Kenyataan itu mengundang rasa kurang senang segelintir pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu berhubung kenyataan itu yang dilihat melabel "Melayu malas".

Sementara itu, Mahathir berkata ucapannya yang mengkritik sikap orang Melayu itu bukanlah satu kesalahan.

"Kita tak boleh harap pada orang lain, tak boleh harap pada kerajaan. Itu yang isi kandungan ucapan saya dan saya tak fikir saya buat sesuatu yang salah," katanya.

Lihat Komen