malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan disaran kaji semula VOA pelancong China dan India
ADS

BELANJAWAN 2020 | Kerajaan disaran mengkaji semula pelaksanaan visa semasa ketibaan (VoA) bagi pelancong China dan India dalam Belanjawan 2020 bagi meningkatkan kehadiran lebih ramai pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata meskipun kadar fi visa VoA dikurangkan daripada RM330 kepada RM200, namun pelaksanaannya didapati masih membebankan pelancong dari kedua-dua negara tersebut yang merupakan antara majoriti pengunjung ke Malaysia.

"Kalau boleh VoA diberikan secara percuma kepada pelancong kerana apabila mereka datang ke Malaysia sudah semestinya mereka akan berbelanja. Jika kerajaan dapat kaji semula pelaksanaan VoA, akan menarik lebih ramai pelancong ke dalam negara kerana memperlihatkan Malaysia sebuah negara yang mengalu-alukan kedatangan pelancong," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berharap kerajaan dapat melihat semula peraturan berkaitan industri pelancongan dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan perkhidmatan baharu yang diperkenalkan oleh syarikat penginapan dan e-hailing.

Katanya kerjasama antara kerajaan dan syarikat-syarikat perkhidmatan diperlukan supaya aspek promosi industri pelancongan dapat ditingkatkan.

Uzaidi yang turut menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan dana Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN Malaysia) bagi membantu penggiat industri pelancongan mempromosi sektor itu, turut menyarankan supaya insentif tersebut terus dikekalkan sebagai usaha meningkatkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini serta merancakkan pelancongan domestik.

Menerusi GAMELAN Malaysia yang merupakan bantuan peruntukan secara pengembalian kewangan, pemain industri yang berkelayakan boleh menuntut 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar atau mengikut had maksimum yang ditetapkan bagi setiap kategori projek, dengan setiap penerima geran akan diberikan peruntukan siling RM200,000.

Mengutarakan pendapat sama, Timbalan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Akil Yusof mencadangkan kerajaan supaya lebih fokus terhadap aspek promosi khususnya melibatkan pemasaran dan pengiklanan digital dalam Belanjawan 2020.

Katanya, promosi dalam medium digital termasuk media sosial membantu merancakkan kempen TMM2020 untuk mengetengahkan tempat-tempat menarik kepada pelancong serta pelbagai keistimewaan lain yang terdapat dalam negara.

Langkah tersebut juga dilihat bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berharap kempen TMM2020 mencapai sasaran untuk menarik kehadiran 30 juta pelancong serta RM100 bilion perbelanjaan pelancong.

"Media sosial memainkan peranan sangat penting pada masa kini kerana informasi mudah disampaikan, boleh didapati pada bila-bila masa dan dengan kaedah interaktif serta video-video pelancongan yang menarik, semestinya dapat 'membeli' hati pengunjung untuk memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.

"Kalau dilihat sekarang, aktiviti promosi untuk TMM2020 masih kurang sedangkan TMM2020 adalah acara yang gah dan ia adalah medium untuk melonjakkan ekonomi negara," katanya.

Selain itu, Mohd Akil juga berpendapat kerjasama dan libat urus antara agensi pelancongan tempatan dan luar negara seperti 'familiarisation trip' dapat menjadi medium bagi menyediakan rangkaian informasi mengenai Malaysia dengan lebih dekat kepada masyarakat luar.

Naib Presiden (Pelancongan Luar Negara) Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Shamsulnidza Mudari pula berharap kerajaan menaik taraf infrastruktur terutamanya di kawasan dan negeri tumpuan pelancong bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Menurutnya, beberapa aspek perlu diberi perhatian termasuk kebersihan tandas awam serta pengangkutan seperti perkhidmatan feri di Langkawi yang dikatakan agak sesak khususnya menjelang cuti persekolahan.

- Bernama

Lihat Komen