BERITA

Kes rasuah Isa Samad: Felda salur dana RM653j pada FIC - Saksi

7 10月 2019, 1:16 下午

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Felda telah menyalurkan dana kepada anak syarikatnya iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) berjumlah RM653 juta antaranya untuk tujuan pelaburan serta perniagaan.

Pengarah Unit Transformasi Felda, Mohd Shahrin Mohd Ali, 50, berkata pembayaran dana itu ialah RM499.5 juta pada 27 Mei 2014; RM51,208,139.71 (23 Sept 2014); RM100 juta (29 Mei 2015); RM 1 juta (21 Okt 2015) dan RM1.88 juta pada 28 Okt 2015.

Beliau berkata pembayaran dana RM499.5 juta merupakan pendahuluan (advance) yang diberikan kepada FIC melalui pinjaman yang Felda perolehi daripada Maybank Islamic Berhad.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika membaca penyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada perbicaraan hari pertama kes bekas Pengerusi Felda, Mohd Isa Samad di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau berkata dana RM51,208,139.71 adalah untuk modal berbayar kepada FIC daripada dana dalaman wang Felda.

"Modal berbayar ini adalah satu jumlah suntikan modal yang boleh diguna pakai oleh FIC untuk keperluan operasi perniagaannya.

"Modal berbayar yang diberikan kepada FIC adalah dianggap sebagai pelaburan yang akan memberi pulangan dividen jika syarikat tersebut mendapat keuntungan," katanya.

Mohd Shahrin yang pernah bertugas sebagai Pengarah Kewangan Felda sehingga Mac 2019 berkata dana berjumlah RM100 juta merupakan bayaran pendahuluan kepada FIC bagi membiayai pembelian Merdeka Palace Hotel & Suite (MPHS) di Kuching, Sarawak.

"Dana ini merupakan pendahuluan (advance) yang diberikan kepada FIC melalui pinjaman yang Felda perolehi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Saksi itu turut mengesahkan dana yang diberikan oleh Felda kepada FIC sebanyak RM1 juta telah disalurkan kepada anak syarikat itu sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik oleh FIC kepada Felda.

"Saya juga sahkan dana berjumlah RM1.88 juta yang disalurkan kepada FIC sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik anak syarikat itu kepada Felda," katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa, 70, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.