malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
IPCMC hina martabat polis - Presiden Umno
Diterbitkan:  Oct 7, 2019 9:05 PM
Dikemaskini: 3:21 PM
ADS

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebagai menghina martabat pasukan keselamatan itu.

"Janganlah menghina dan merendah-rendahkan martabat PDRM.

"Mereka telah bertungkus-lumus dan berkorban untuk menjaga keselamatan negara, membanteras jenayah serta menjaga ketenteraman awam," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid tiada keperluan mewujudkan IPCMC memandangkan telah ada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Suruhanjaya Pasukan Polis.

"Tiada keperluan untuk mewujudkan IPCMC kerana Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) sudah memadai dan cukup lengkap untuk memantau semua agensi penguatkuasaan termasuk PDRM.

"PDRM juga telah mempunyai Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang bertanggungjawab menjaga dan mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai dan anggota polis," katanya lagi.

Zahid juga berkata "Umno amat prihatin dengan kebajikan keluarga pegawai dan anggota PDRM."

IPCMC merupakan cadangan daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM yang ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 4 Februari 2004, dan diumumkan oleh perdana menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi.

Pada Mei lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata rang undang-undang (RUU) IPCMC akan dibentang di parlimen tahun ini bagi membolehkan IPCMC dibentuk sebelum akhir tahun ini.

Sebelum ini, IPCMC berdepan tentangan daripada beberapa pihak yang mendakwa suruhanjaya itu akan menghakis kuasa polis.

Bagaimanapun, pada 10 Mei lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menjelaskan kebimbangan pasukan itu terungkai selepas polis mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Abu Kassim Mohamed bagi membincangkan tentang penubuhan IPCMC.

Abdul Hamid turut menegaskan bahawa penerimaan IPCMC perlu juga seiring dengan pembelaan kebajikan warga polis yang menurutnya tidak menerima hak yang sepatutnya daripada kerajaan selama ini.

Dalam wawancara sama, Abdul Hamid turut menyatakan beliau tidak memandang penubuhan IPCMC sebagai satu cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh PDRM seperti digambarkan sesetengah pihak.

“Saya tidak nampak halangan besar yang mengatakan IPCMC dilaksanakan nanti, akan hilang daulat PDRM. 

"Itu adalah tidak benar dan saya yakin dengan anak buah saya," katanya.

Lihat Komen