malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: K'jaan boleh kurangkan bayaran tol, bukan hapus serta-merta
Diterbitkan:  Oct 7, 2019 4:57 PM
Dikemaskini: 9:00 AM
ADS

Tiada penghapusan tol buat masa ini, tetapi kerajaan mampu menanggung beban untuk menurunkan kadar yang dikenakan di lebuh raya negara ini, kata Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, menurut perdana menteri, kerajaan bersedia memberi pertimbangan kepada mana-mana pihak swasta yang mengemukakan tawaran untuk membolehkan bayaran tol di sesuatu lebuh raya diturunkan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Mahathir berkata, kerajaan tidak dapat menghapuskan bayaran tol secara serta-merta seperti yang dijanjikan PH dalam manifesto mereka sebelum PRU tahun lalu.

“Apabila kajian yang mendalam dibuat, penghapusan tol segera tidak boleh dilakukan kerana memerlukan pembelian (konsesi) oleh kerajaan.

“Masa diperlukan untuk mengurangkan beban rakyat bagi menghapuskan tol, tetapi menurunkan bayaran tol, boleh dipikul.

“Jika ada swasta yang akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbangkan,” katanya.

Semalam pengerusi PH itu menyatakan secara keseluruhan gabungan terbabit sudah menunaikan 60 peratus daripada janji manifestonya setakat ini.

“Sesetengahnya kami dah capai 100 peratus, sesetengahnya lebih rendah peratusannya,” katanya.

Terbeban dengan kos selenggara

Menurut beliau juga PH tidak pernah berjanji untuk menghapuskan tol serta-merta namun ada pemimpin parti itu terikut-ikut dengan pandangan pembangkang.

Kata Mahathir, apabila beliau memberikan komen mengenai tol semalam, ia merujuk kepada janji PH untuk menamatkan pembayaran berkenaan dalam tempoh yang singkat selepas membentuk kerajaan.

"Manifesto PH mengandungi ayat berikut: Kerajaan PH akan mengkaji semula semua perjanjian konssesi lebuh raya. Kami berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

"Kajian menunjukkan bahawa kerajaan terpaksa berbelanja puluhan bilion ringgit untuk mengambil alih lebuh raya bertol dengan secara serta-merta.

"Setelah diambil alih, kos penyelenggaraan selepas akan memerlukan berbilion ringgit lagi," katanya.

Mengulas lanjut Mahathir berkata, syarikat pemegang konsesi memang boleh menikmati laba, tetapi tidak semua mereka mendapat keuntungan kerana dana yang besar diperlukan untuk menyelenggara sesebuah lebuh raya.

“Kerajaan dahulu telah hutang ribuan bilion ringgit. Hutang mesti dibayar jika kita tidak mahu dijadikan muflis.

“Pembayaran faedah hutang dan hutang pokok menelan berbilion ringgit.

"Apabila dibayar, dana kerajaan tidak mencukupi untuk pembangunan infrastruktur yang penting jika beban pembelian dan penyelenggaraan lebuh raya ditambah kepada operasi dan pembangunan kerajaan.

“Kerajaan tidak mampu melayan permintaan projek (pembangunan) oleh rakyat jika dibebani dengan kos penyelenggaraan lebuh raya,” katanya.

Lihat Komen