malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kalau awak tak mahu kerja, kami OK, kata bos Foodpanda
ADS

Syarikat perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda Malaysia membayangkan mereka tiada masalah dengan mogok penunggang terhadap skim pembayaran baru mereka.

Pengarah urusan syarikat itu Sayantan Das berkata penghantar yang tidak mahu bekerja perlu memberikan atau menukarkan syif mereka kepada penghantar lain agar tidak menjejaskan pendapatan mereka.

“Jika awak (penghantar) tidak mahu kerja, tolong berikan atau tukar awak punya syif pada penghantar lain sebab awak menjejaskan kehidupan mereka,” katanya dalam sesi taklimat Foodpanda di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Sayantan disoal mengenai mogok penunggang yang log masuk ke aplikasi Foodpanda namun tidak mahu menjalankan sebarang penghantaran makanan kepada pelanggan.

Mengulas mengenai ancaman sekatan pengenalan diri (ID) digital penghantar yang menyertai mogok, Sayantan menafikan perkara itu.

“Semasa mogok, kami tidak membatalkan sebarang ID mahupun mengancam penghantar.

“Mesej yang kami berikan adalah, jika awak tidak mahu kerja, kami OK sebab mogok tidak melanggar undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas sidang media hari ini.

‘Kerajaan tak terlibat’

Disoal mengenai penglibatan kerajaan dalam membuat keputusan berkenaan harga skim baru yang dikenakan, Sayantan menjelaskan bahawa kerajaan tidak terlibat dalam hal itu.

“Keputusan hanya dilakukan dalam kalangan kami sahaja tanpa ada pengaruh daripada kerajaan. Tapi kami mengalu-alukan kerajaan berada dalam keputusan.

“Usaha yang mereka letakkan untuk membuat pasaran kami menjadi lebih baik dan membimbing kami dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Bermula 1 hingga 3 Okt lalu, penghantar makanan Foodpanda berpakat mengadakan mogok besar-besaran sebagai bantahan mengenai skim baru yang berkuat kuasa sejak 30 Sept 2019 di sekitar luar Lembah Klang.

Sayantan menjelaskan syarikat itu tidak terjejas dengan mogok itu.

“Mogok itu dijalankan oleh kumpulan yang sangat kecil oleh penghantar kami.

“Kami telah mengkaji dan memahami segmen penghantar, kurang dari satu peratus yang memulakan mogok,” katanya.

Penghantar mendakwa, di bawah skim baru, kadang-kadang mereka terpaksa menunggu dua hingga tiga jam untuk mendapatkan pesanan justeru, pendapatan mereka berkurangan.

Lihat Komen