malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri kewangan mesti peduli pada semua rakyat, kata Anwar
ADS

Bukan sekadar berbangsa Melayu semata-mata, tetapi mestilah orang yang layak, berdaya saing dan peduli terhadap Melayu, bumiputera dan semua rakyat Malaysia.

Itu syarat yang perlu ada kepada seseorang yang sesuai dilantik menduduki jawatan penting dalam kerajaan, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini, Anwar berkata sesiapa saja yang mempunyai sifat tersebut layak dilantik kerajaan menduduki jawatan penting atau strategik.

"Menteri Kewangan sepatutnya seorang yang berkelayakan, kompeten dan profesional yang peduli terhadap Melayu dan bumiputera, dan peduli kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Terdahulu Anwar ditanya pandangannya terhadap salah satu resolusi yang terhasil daripada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam semalam.

Ia dibacakan anggota parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Kata timbalan ketua Pemuda PAS itu, semua jawatan penting dalam negara seperti perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri-menteri besar, menteri kanan - termasuk menteri kewangan - harus dipimpin oleh orang Islam.

"Begitu jugalah jawatan penting lain seperti ketua hakim negara, peguam negara, ketua setiausaha negara, ketua polis negara, panglima angkatan tentera dan lain-lain jawatan strategik hendaklah digalas Muslim beraliran Ahli Sunnah wal Jamaah," katanya.


Baca Nik Aziz: Allah maha besar, bukan Melayu, Cina, India


Kata Anwar sesiapa saja yang memiliki sifat yang disebutkannya itu boleh diberi tanggungjawab menduduki jawatan menteri kanan.

Sementara itu ditanya mengenai ketiadaannya dalam kongres itu, Anwar berkata, beliau mendapat jemputan pada saat-saat akhir.

Pada mulanya, kata Anwar, beliau memang tidak diundang ke majlis itu atas alasan dikemukakan pengajur bahawa PKR adalah parti pelbagai kaum.

"Tapi kemudian jemput juga, dijemput sepetang sebelum (program) itu," katanya yang tidak dapat hadir kerana sudah berada di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Lihat Komen