malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pendakwaan akan bukti Isa Samad terima rasuah lebih RM3j
ADS

Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad telah menerima rasuah lebih RM3 juta berhubung kelulusan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduh (Mohd Isa) menerima rasuah itu daripada Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel melalui Muhammad Zahid Md Arip iaitu pegawai khas tertuduh.

"Suapan sebanyak RM500,000, RM500,000, RM300,000, RM500,000 dan RM500,000 telah diserahkan oleh Ikhwan kepada tertuduh (Mohd Isa) melalui Muhammad Zahid," katanya semasa membacakan penyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes Mohd Isa di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Afzainizam berkata pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan tertuduh telah mengarahkan Muhammad Zahid untuk mendapatkan suapan daripada Ikhwan sebagai upah kepada tertuduh yang telah membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites, (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh pihak FICSB.

Beliau berkata di dalam membuktikan kes terhadap Mohd Isa, pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung, keterangan ikut keadaan dan keterangan dokumentari bagi menunjukkan bahawa kesemua kesalahan tersebut telah dilakukan oleh bekas pengerusi Felda itu.

Berhubung pertuduhan menerima suapan itu, Afzainizam berkata pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa tertuduh menerima suapan RM100,000 yang merupakan 'advance' daripada Ikhwan melalui Muhammad Zahid.

Beliau berkata pendakwaan akan menunjukkan bukti bahawa tertuduh telah menandatangani Surat Hantaran Telegraf bertarikh 30 Jun 2014 untuk mengarahkan pihak Maybank Cawangan Jalan Maktab untuk membuat pembayaran RM16 juta iaitu bayaran 10 peratus daripada nilai pengambilalihan MPHS kepada Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd pada 1 Julai 2014.

"Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan selepas Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd menerima bayaran berjumlah RM16 juta daripada FICSB, pada 10 Julai 2014 syarikat tersebut telah membayar komisyen RM1 juta kepada Syarikat JV Evolution Sdn Bhd, ejen yang dilantik oleh syarikat berkenaan," katanya.

Seterusnya, pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa Ikhwan telah mengarahkan Syarikat JV Evolution Sdn Bhd untuk mengeluarkan wang untuk diberikan kepadanya yang mana suapan RM140,000 telah diserahkan kepada tertuduh melalui Muhammad Zahid.

"Pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa selepas bayaran kedua berjumlah RM43,126,938.77 dibayar oleh FICSB kepada JANG Assets Networking Group Ltd melalui Tetuan Mohamed Ridza & Co pada 25 Sept 2014 di bawah Perjanjian Jual Beli MPHS itu, tetuduh telah mengarahkan Muhammad Zahid untuk mendapatkan suapan daripada Ikhwan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen