malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jerebu: Malaysia masih tunggu hasil siasatan Indonesia
ADS

Kerajaan masih menunggu hasil siasatan pihak berkuasa Indonesia sebelum mengambil tindakan terhadap ladang milik Malaysia di negara itu yang didakwa melakukan pembakaran terbuka sehingga mengakibatan jerebu.

Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata sehingga kini empat syarikat didakwa terbabit dengan pembakaran terbuka berkenaan.

"Kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap ladang milik Malaysia di Indonesia, jika terbukti melakukan pembakaran terbuka.

"Kita masih tunggu siasatan negara jiran, apakah benar syarikat yang terbabit itu benar milik Malaysia.

"Sudah tentu akan ada tindakan dari kerajaan sana (Indonesia), kita (Malaysia) juga akan ambil tindakan tegas," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Khairy Jamaluddin (BN- Rembau).

Khairy meminta kerajaan menyatakan sejauh manakah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang ditubuhkan oleh Malaysia dan Indonesia memainkan peranannya bagi mengatasi aktiviti syarikat pembukaan tamah ladang menerusi pembakaran terbuka oleh syarikat pemain industri sawit yang menyebabkan masalah jerebu rentas sempadan saban tahun.

Pada 18 Sep lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap syarikat perladangan Malaysia di Indonesia yang terbabit dalam pembakaran terbuka sehingga menyebabkan jerebu dan turut menjejaskan negara.

Mahathir berkata, syarikat terbabit perlu mengambil tanggungjawab memadamkan kebakaran di ladang mereka.

“Kabinet hari ini berbincang mengenai jerebu. Kita juga mahu mengambil tindakan terhadap syarikat Malaysia yang ada estet di luar negara yang menyumbang kepada jerebu hasil pembakaran estet itu," katanya.

Lihat Komen