malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
JBPM harap Belanjawan 2020 prihatin fasiliti bomba
ADS

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengharapkan agar kerajaan pertimbangan aspek perkhidmatan kebombaan, penyelamatan, keselamatan dan khidmat kemanusiaan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentang 11 Okt ini.

Ketua Pengarahnya Mohammad Hamdan Wahid berkata aspek itu antaranya merangkumi pembinaan balai bomba, penambahan aset operasi kebombaan, dan tugas mencari serta menyelamat (SAR) di air dan daratan.

“JBPM juga mengharapkan belanjawan itu nanti megambil kira aspek pengendalian bahan bahaya anggota pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) selain kemalangan industri dan domestik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penambahan binaan balai bomba adalah untuk meningkatkan perlindungan keselamatan di bandar, luar bandar dan pedalaman manakala penambahan aset operasi bagi operasi kebombaan pula bertujuan untuk aktiviti pemadaman dan penyelamatan di bangunan tinggi, hutan dan struktur khas.

Belanjawan itu diharap dapat disalur ke arah penyelenggaraan aset sedia ada serta pemodenan kelengkapan kebombaan, katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berharap kerajaan memberi perhatian kepada elaun anggota pasukan itu serta penyelenggaraan peralatan logistik.

Ketua Pengarah APM Roslan Wahab berkata elaun anggota dan pegawai APM kini masing-masing berada pada paras RM8 sejam bagi anggota dan RM9 sejam untuk pegawai.

"Kekuatan APM terletak pada sukarelawan, lebih ramai anggota perlu digerakkan ke lokasi," katanya.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Okt ini.

- Bernama

Lihat Komen