malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Ambil iktibar 'hilangnya' Kg Kerinchi, Kg Abdullah Hukum - Dr M
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu agar tidak menjual tanah milik mereka di kawasan bandar, dengan membangkitkan "kehilangan" kawasan orang Melayu di Kuala Lumpur pada masa lalu.

Beliau merujuk Kampung Kerinchi, Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Penchala yang kini antara lain menjadi kawasan kompleks membeli-belah dan kondominium.

Mahathir berkata kampung tersebut hilang selepas orang Melayu menjual tanah mereka dan sebahagiannya berpindah ke kawasan kampung.

"Hari ini di Kampung Kerinchi, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Penchala, Semuanya sudah dijual. (Dan penduduk di situ) Keluar jauh dari bandar kerana kos rendah.

"Jangan jual tanah, kita akan cari jalan untuk dapatkan pulangan yang baik. Tak payah jual, dengan itu kita (tidak) dihalau keluar dari bandar," katanya dalam ucapannya di Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, hari ini.

Kini isu pemilikan tanah orang Melayu di Kuala Lumpur kembali diperkatakan dengan isu pembelian tanah Kampung Baru oleh kerajaan.

Dalam sidang media selepas itu Mahathir yang ditanya tentang isu itu berkata ia keadaan di Kampung Baru berbezan kerana pihak yang ingin membelinya ialah kerajaan.

"Kampung baru tidak jual kepada orang lain, tetapi jual kepada agensi kerajaan yang akan bangunkan kampung baru.

"Nampak macam kudis dalam bandar Kuala Lumpur yang sedang pesat membangun....masih terdapat rumah-rumah lama yang tidak mencerminkan kedudukan orang Melayu," katanya.

Terdahulu, kerajaan menawarkan harga RM850 kaki persegi - kadar yang menurut Menteri Wilayah Khalid Samad daripada penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) - kepada pemilik tanah di situ, tetapi dibantah oleh sejumlah penduduk dan juga beberapa pihak lain.

Pada 3 Oktober lalu, Khalid berkata Khalid berkata akan bertemu Mahathir untuk membincangkan isu itu, antaranya sama ada kerajaan akan memberikan tawaran yang lebih baik.

Kemungkinan tawaran dalam bentuk saham dalam projek pembangunan Kampung Baru juga akan dibincangkan, katanya lagi.

Lihat Komen