malaysiakini logo
story-image
ADS

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan badan dunia itu gagal melindungi rakyat miskin daripada tindakan peperangan.

Tambahnya, PBB juga sedang berusaha secara menyeluruh bagi membantu negara dunia ketiga menangani konflik yang berlaku.

“Saya rasa malah setiausaha agung kami (António Guterres) juga berkata yang PBB perlu lakukan usaha lebih baik bagi mengatasi konflik.

“Objektif awal PBB juga jelas untuk mempertahankan hak asasi manusia dan kajian juga dilakukan kerana setiausaha agung (António Guterres) kami juga turun padang dan lihat sendiri rakyat yang sengsara dengan konflik tersebut,” katanya pada sidang media bagi mengulas lawatan PBB selama 4 hari di Malaysia.

Dr Mahathir yang berucap pada Perbahasan Umun Sesi ke-74 Perhimpunan Agung PBB (Unga) di New York 28 Sept lalu, berkata peranan asal badan dunia itu perlu dikembalikan bagi memastikan ia kekal menjadi organisasi bertamadun.

Jelasnya, walaupun PBB dilihat banyak membantu dalam isu kesihatan dan keselamatan konflik dalaman, namun Dr Mahathir berpandangan masih banyak yang perlu dilakukan badan itu.

Sementara itu, Bachelete juga berharap bantuan dan sokongan dari kerajaan agar isu berkenaan konflik tersebut dapat diselesaikan.

“Sudah tentu, ia hanya bukan merangkumi kerja PBB, kita perlukan sokongan negara lain kerana isu ini meliputi geopolitik dan aspek ekonomi, jadi kerajaan dapat membantu bagi mengurangkan konflik ini terjadi.

“Kami (PBB) akan melakukan yang terbaik tetapi PBB perlukan usaha sama dari pihak negara juga,” katanya.

Bachelet kini dalam lawatan kerja empat hari ke Malaysia bermula Khamis lalu, yang juga melakar sejarah apabila menjadi pesuruhjaya tinggi pertama PBB melawat Malaysia.

Semalam, Menteri Luar Saifuddin Abdullah menjelaskan kerajaan Malaysia mengambil pendekatan terbuka dalam menerima sebarang lawatan daripada Pesuruhjaya Tinggi atau Pelapor Khas daripada PBB.

Beliau berkata, pendekatan terbuka ini berbeza dengan kerajaan terdahulu yang ada kalanya tidak membenarkan wakil daripada PBB datang untuk melihat suasana di dalam negara.


Lihat Komen