malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Wawasan 2020 gagal kerana kerajaan dulu fokus pendapatan tinggi
ADS

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menegaskan Wawasan 2020 gagal dicapai kerana kerajaan terdahulu memberi fokus untuk mencapai pendapatan tinggi bukannya status negara maju.

Beliau berkata, tiada usaha serius dilakukan kerajaan terdahulu dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini untuk menjayakan matlamat Wawasan 2020.

“Wawasan 2020 bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tapi 15 tahun ke belakang, tiada usaha sungguh-sungguh untuk mencapai matlamat itu sebaliknya memberi tumpuan beri pendapatan tinggi.

“Ia dilakukan dengan cara beri wang, gaji tinggi, BR1M dan sebagainya supaya mendapat sesuatu daripada rakyat. Ia bukan usaha mereka tapi melalui pemberian kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (Masa).

Pada 8 Mei, Mahathir menetapkan sasaran baru untuk Malaysia menjadi negara maju menerusi Wawasan 2025, lima tahun terlewat berbanding Wawasan 2020 yang diilhamkannya hampir 30 tahun lalu.

Pendapatan tinggi tapi tiada kuasa beli

Sasaran baru itu, katanya, adalah kerana Wawasan 2020 yang digariskan beliau ketika menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sehingga 2003, sudah tersasar daripada objektif asal.

Mahathir berkata, selepas beliau meletak jawatan Perdana Menteri pada 2003, penggantinya tidak memastikan objektif Wawasan 2020 tercapai.

Dalam pada itu, Mahathir berkata kerajaan perlu berhati-hati dalam meningkatkan pendapatan kerana ia akan menyebabkan kos sara hidup turut meningkat.

Beliau berkata, ada negara pendapatan tinggi dengan pembayaran gaji yang lumayan, namun tiada kemampuan kuasa beli.

"Sebab itu kita berjaga-jaga, kerana tiap kali kita naikkan pendapatan kos hidup pun naik. Jadi, duit yang ditambah tak dapat beli (berbelanja).

"Keupayaan membeli lebih utama daripada jumlah wang yang didapati. Ada negara-negara bayar gaji cukup tinggi tapi, daya beli cukup rendah," katanya.

Lihat Komen