malaysiakini logo
story-image
ADS

PULASAN | Sebermula dikatakan bahawa kambing itu ada beberapa jenis semuanya. Dan ia disatukan oleh beberapa sifat yang unik berbanding haiwan ruminan lain.

Salah satu kelebihan kambing, kata empunya hikayat, ialah tahap kecerdasannya yang tinggi sehingga sesuatu kelakuan seekor kambing itu dapat ditiru kambing-kambing lain dalam tempoh yang singkat.

Kambing - atau jika mahu kelihatan Islamik, bolehlah dikatakan sebagai ma'az - memiliki keupayaan memanjat. Gabungan kecerdasan dan sifat ingin tahu itulah yang didakwa mendorong kambing memanjat pokok tumbang.

Ketika kedua-dua bibirnya boleh mencapai pucuk muda pokok itu, ia lebih suka memanjatnya sebelum menikmati dedaunan muda berkenaan. Semuanya kerana dia berasa dia lebih tahu berbanding yang lain.

Arakian diceritakan kambing itu memang memiliki dua rasa "ingin" yang tinggi, iaitu ingin mengambil tahu dan ingin mengambil kesempatan.

Makanannya pula sangatlah rencam. Kata sahibul hikayat, antara rumput yang baik untuk kambing ternakan ialah rumput guinea atau rumput humidicola.

Walaupun ia lebih suka kepada tumbuh-tumbuhan, tidak ada halangan untuk kambing memamah makanan dalam bentuk lain. Justeru ada kambing memakan kertas, kadbod, plastik, dan - khabarnya kadang-kadang ketika ada kesempatan - dedak.

Pun begitu, kambing terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan atau penyakit. Berdepan dengan kulapuk, misalnya, seekor kambing boleh mengalami penyakit dan jika tidak dirawat segera, akan mengundang maut.

Masalah kesihatan lain yang boleh menghinggapi kambing, kata empunya cerita, ialah kecacingan, keracunan, sakit mata serta cepat sakit hati.

Adapun berkenaan kecerdasan yang tinggi itu, kata yang empunya cerita, kambing cekap mengesan kelemahan situasi semasa yang ada di sekitarnya.

Kambing buta dan beruk malang

Dengan perkiraan yang tersendiri, kambing dapat menghidu jika ada pagar atau tiang kandangnya sedang condong. Maka dengan pantas ia akan mencari jalan untuk keluar dari situ dan meninggalkan rakan-rakannya yang lain.

Akan tindak-tanduk itu pasti disedari pula oleh kambing-kambing lain. Maka, kambing yang lain itu juga akan mengikut kambing yang terdahulu memanfaatkan peluang untuk lari dari kandang.

Arakian, kata sahibul hikayat, masalah besar akan timbul jika ketua kambing itu mengalami masalah buta. Disebabkan sifat patuh berkelompok yang agak tinggi, ada kemungkinan juga kambing-kambing lain akan memaksa diri sendiri untuk buta juga waima mata masing-masing dalam keadaan al-sihat wal-afiat.

Atau sekurang-kurangnya enggan memandang sekeliling. Semuanya kerana kambing itu cerdas dan berasa serba tahu.

Dalam keadaan begitu sedikit sebanyak sifat kekambingan akan terjejas. Daripada haiwan yang gemar meneroka dan mencari makanan yang sihat di tempat lain, kambing itu akan kekal berkeliaran di sekitar kawasan yang dirasakannya hijau untuk mereka.

Kata kunci kepada situasi itu ialah "dirasakannya". Ia tidak semestinya benar, tetapi dalam dunia kambing, sesuatu kebenaran itu kadang-kadang boleh dipaksakan jika dipersetujui secara beramai-ramai.

Demikian secebis kisah dogeng purbakala yang dinukilkan secara bebas untuk kali ini.

Menurut kata penglipurlara, pada suatu ketika yang kemudian, kambing itu akan berjumpa pula dengan sekawan beruk yang tidak kurang juga malang nasibnya.

Gabungan kambing yang buta dan beruk malang itu akhirnya akan berpakat sesama sendiri bagi mencari tempat mencari makan yang baru selepas hutan mereka dipugar untuk dijadikan ladang dan hasil mahsulnya dinikmati secara bersama-sama oleh haiwan lain.

Namun perlu diingatkan, semua ini adalah sekadar kisah rakyat yang disulami dengan dongengan menebal. Tiadalah ia ada kaitan dengan apa-apa yang ada dalam dunia serba moden sekarang ini sama ada hidup atau sudah mati.


AL-ABROR MOHD YUSUF

ialah wartawan Malaysiakini yang dibesarkan dengan cerita-cerita rakyat seperti Pak Pandir, Pak Kaduk dan Lebai Malang.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Lihat Komen